GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rohaniza Idris

Kuala Lumpur: Jumlah kerugian sebenar syarikat pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada masa ini tidak dapat ditentukan.

Kementerian Kewangan berkata, ini kerana juruaudit yang dilantik 1MDB, Parker Randall masih belum dapat memuktamadkan laporan penyata kewangan syarikat itu.

"Ini kerana juruaudit yang lama iaitu KPMG dan Deloitte telah menarik balik laporan dan pandangan mereka terhadap laporan penyata kewangan syarikat itu.

"Justeru itu, jumlah kerugian sebenar 1MDB pada masa ini tidak dapat ditentusahkan," menurut jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.

Jawapan bertulis itu menjawab soalan dikemukakan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah wang yang sudah berjaya dikembalikan hasil daripada tindakan yang diambil terhadap isu 1MDB sejak 2018 dan jumlah kerugian keseluruhan syarikat itu.

Parker Randall dilantik juruaudit 1MDB sejak 2017 yang mana sebelum itu KPMG menjadi juruaudit pada 2010 hingga 2012 manakala Deloitte pada 2013 hingga 2014.

Kementerian Kewangan juga mengesahkan sehingga 31 Januari lalu, jumlah dana berkaitan 1MDB yang telah berjaya didapatkan kembali dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset adalah sebanyak RM19.14 bilion.

Katanya, sebahagian besar dana itu diperoleh daripada lima sumber utama iaitu sebanyak AS$1.23 bilion (RM5.17 bilion) diperoleh daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan sebanyak AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion) diperoleh daripada Goldman Sachs sebagai sebahagian jumlah penyelesaian yang berjaya dimuktamadkan pada Julai 2020 yang dikreditkan pada September 2020.

Sebanyak AS$80 juta (RM336 juta) diterima daripada Deloitte hasil penyelesaian global yang dimeterai 24 Mei 2021 yang dikreditkan pada Jun 2021 manakala sebanyak RM2.315 bilion diterima daripada AmBank juga hasil penyelesaian global dimeterai pada 5 Mei 2021 yang dikreditkan pada Julai dan Disember 2021.

Dalam masa yang sama, sebanyak AS$80 juta (RM336 juta) diterima daripada KPMG hasil penyelesaian global yang sudah dimeterai pada 16 Disember 2021 yang dikreditkan pada Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 12:26 PM