HARGA ayam dan barangan keperluan lain yang lebih rendah menjadi tarikan di PJKM. FOTO ihsan KPDNHEP
HARGA ayam dan barangan keperluan lain yang lebih rendah menjadi tarikan di PJKM. FOTO ihsan KPDNHEP
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Harga ayam lebih rendah iaitu RM7.95 sekilogram berbanding harga asal RM8.79 menjadi antara tarikan di Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Angsana, Tampoi, di sini.

Jurucakap Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor berkata, PJKM dilaksanakan mulai 3 hingga 5 Mac bersempena siri pertama sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, PJKM memberi peluang kepada lebih 50,000 penduduk mengurangkan kos sara hidup susulan kenaikan harga barangan keperluan harian ketika ini.

Menurutnya, selain ayam, PJKM menawarkan pelbagai barangan keperluan termasuk ikan, sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dengan harga promosi iaitu majoritinya antara 10 hingga 20 peratus penjimatan berbanding di pasaran.

"Sehingga kini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan PJKM di 127 lokasi di semua kawasan Parlimen di Johor dan sambutan pengguna dan peniaga di semua lokasi amat menggalakkan.

"Pengunjung membanjiri PJKM negeri Johor melebihi 150,000 dengan jumlah jualan mencecah RM3.1 juta.

"Daripada maklum balas diterima, rata-rata pengunjung menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala serta mengakui harga ditawarkan dapat meringankan bebanan kos untuk pembelian barangan keperluan harian dalam situasi sekarang ini," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menggerakkan cawangan KPDNHEP di Johor dalam pelaksanaan program ini dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan rakan strategik.

Menurutnya, pada masa sama, PJKM dilaksanakan secara serentak di 26 kawasan parlimen di Johor mulai 5 hingga 6 Mac termasuk di parlimen Mersing, Tenggara, Pengarang, Sembrong, Kluang, Simpang Renggam, Batu Pahat dan Ayer Hitam.

Katanya, PJKM akan dilaksanakan di Parit Sulong, Sri Gading, Pagoh, Bakri, Tangkak, Muar, Tanjung Piai, Pontian, Iskandar Puteri, Johor Bahru, Pulai, Kulai, Pasir Gudang, Tebrau dan Segamat.

"Pada masa sama, semua peniaga diingatkan supaya sentiasa beretika dengan mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan kerajaan.

"Seramai 200 anggota penguat kuasa dan 100 pegawai pemantau KPDNHEP di seluruh Johor akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan terhadap barangan di pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 9:10 PM