GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Seramai 42,166 pencari kerja direkodkan mendapat pekerjaan dengan sejumlah 1,200 pekerjaan baharu diwujudkan pada Januari lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia secara tidak langsung membuktikan inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran penciptaan 600,000 pekerjaan pada tahun ini.

Katanya, mengimbas kembali kejayaan yang dicapai pada tahun lalu, kerajaan dengan kerjasama bersepadu pelbagai kementerian, agensi pelaksana dan sektor swasta berjaya menempatkan 558,633 pekerjaan pada tahun lalu.

"Pencapaian ini adalah 112 peratus daripada sasaran ditetapkan dan kerajaan yakin bahawa kejayaan ini boleh diulangi dengan sasaran lebih tinggi bagi tahun ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Majlis Pekerjaan Negara (NEC) juga meneliti dan membincangkan strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Menurutnya, Sistem Kuota dan Multi-tier Levy (MTL) adalah langkah yang boleh diambil dalam menangani isu itu, selain sokongan daripada majikan juga perlu bagi mengimbangi impak kekurangan tenaga kerja pasca-pandemik.

Katanya, inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia mempunyai tiga komponen utama iaitu insentif Penggajian JaminKerja, Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran serta Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP).

"NEC juga bersetuju dengan penetapan sasaran sejumlah 300,000 penempatan pekerjaan di bawah Insentif Penggajian JaminKerja, Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (220,000) dan MySTEP (80,000).

"Pencapaian sasaran ini akan disokong oleh lima Pasukan Petugas Khas (STF) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian masing-masing," katanya.

Perdana Menteri berkata, Kementerian Sumber Manusia juga diarahkan merangka strategi khusus bagi meningkatkan peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Menurutnya, langkah itu penting kerana kadar pengangguran dalam kalangan golongan berkenaan berada pada tahap 80.3 peratus.

Katanya, kerajaan turut mengulangi pendirian mengenai usaha pendedahan awal pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada pelajar Tingkatan Satu bagi membantu mereka membuat pilihan berdasarkan kecenderungan minat.

"Bagi tujuan ini, kempen promosi dan penjenamaan semula TVET akan dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua.

"Sebaliknya, TVET akan diperkasakan agar menjadi kerjaya pilihan seperti negara maju," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga akan menambah baik dan memperkasa ekosistem pekerjaan melalui pewujudan Pusat Penempatan Pekerjaan Sehenti yang akan memantau kejayaan setiap permohonan pekerjaan.

Katanya, ia adalah pelengkap bagi platform MYFutureJobs yang memudahkan majikan menawarkan pekerjaan dan pada masa sama membantu pencari kerja untuk membuat pendaftaran serta mendapatkan tarikh temu duga.

"Kerajaan yakin strategi NEC dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran.

"Selain itu, kerajaan memandang serius isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial bagi pekerja dan isu kebolehpasaran graduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 3:57 PM