Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Dr. Zaliman Sauli (kiri sekali) dan Datuk Azmir Jaafar(kanan sekali) perkenan rasmi RMSR - FOTO McDonald's Malaysia
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Dr. Zaliman Sauli (kiri sekali) dan Datuk Azmir Jaafar(kanan sekali) perkenan rasmi RMSR - FOTO McDonald's Malaysia
Nurshafika Suhaimi

Kangar: Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) A-Heart di Universiti Malaysia Perlis, sumbangan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald atau Ronald McDonald House Charities Malaysia (RMHC) kini dibuka secara rasmi bermula 28 Februari lalu.

Majlis perasmian RMSR yang ke-34 ini disempurnakan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama pada majlis perasmian berkenaan, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar dan Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr. Zaliman Sauli.

RMSR ini salah satu dari program RMHC Malaysia yang menyediakan bilik terapi deria dengan peralatan multi-sensori serba lengkap untuk merangsang deria asas seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan dan menghidu bagi meningkatkan perkembangan kognitif dan keyakinan kanak-kanak berkeperluan khas dan mempunyai masalah pembelajaran.

RMSR di A-Heart adalah sumbangan serta sokongan RMHC Malaysia kepada program pembangunan dan pembelajaran anak berkeperluan khas di Negeri Perlis yang dijalankan oleh A-Heart di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Malaysia Perlis.

Sementara itu Azmir dalam ucapannya berkata, pelancaran RMSR ini melengkapkan rangkaian RMSRĀ  disetiap negeri di Malaysia, menjadikan RMHC organisasi yang memiliki rangkaian bilik terapi sensori terbesar di Malaysia.

"Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak A-Heart dan UniMAP bagi menyediakan kemudahan yang sangat diperlukan oleh kanak-kanak berkeperluan khas di Perlis ini," ujarnya.

Sehingga kini, RMHC membangunkan 35 buah bilik terapi sensori dengan kos tajaan lebih dari RM3.7 juta yang sudah memanfaatkan lebih dari 7,000 kanak-kanak istimewa di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pada majlis sama, Azmir turut menyampaikan bayaran zakat korporat sebanyak RM100,000 daripada McDonald's Malaysia kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Selain dari sumbangan zakat korporat, dianggarkan lebih 7,000 aktiviti kemasyarakatan berjaya dianjurkan di bawah Program Komuniti McDonald's dan RMHC membabitkan restoran McDonald's di seluruh negara setiap tahun.

Antara program yang dilaksanakan adalah sumbangan pek makanan kepada petugas frontliner, warga emas di pusat jagaan orang tua di seluruh negara bersempena Tahun Baru Cina dan tajaan moreh di masjid berdekatan dengan restoran McDonald's di bulan Ramadan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 2:23 PM