KELIHATAN bendera parti bertanding dipasang di Jambatan Sungai Terap, Muar. FOTO Hairul Anuar Rahim
KELIHATAN bendera parti bertanding dipasang di Jambatan Sungai Terap, Muar. FOTO Hairul Anuar Rahim
Omar Ahmad


Johor Bahru: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan medan ujian atau arena untuk mengukur penerimaan dan kebolehpasaran parti politik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebaliknya ia adalah landasan untuk membina masa depan.

Katanya, ramai 'pemain baharu' bertanding tanpa agenda yang konkrit dan kehadiran mereka sekadar memeriahkan demokrasi.

"Johor nampaknya telah jadi gelanggang untuk pelbagai parti politik berentap dalam politik Malaysia yang telah sangat 'disrupted.'

"Banyak pemain baharu bertanding. Warisan, PBM, PEJUANG, MUDA dan yang seangkatan semuanya ingin menjadikan Johor sebagai medan menguji pasaran. Semua hadir tanpa 'projek' yang konkrit untuk Johor.

"Demokrasi tidak perlukan kemeriahan sedemikan. Ia adalah sistem yang memerlukan kerapian strategi, penonjolan projek politik yang meyakinkan dan pembaharuan yang sistematik," katanya dalam hantaran kepada media, di sini.

Mohamed Khaled meminta supaya rakyat Johor memilih agenda dan projek politik yang konkrit, bukan sekadar usia dan jenama.

Katanya, negara aspirasi bersama di sertakan dengan 'consolidated strategy' (strategi disatukan) yang boleh menjadikan ia lebih baik, sesuai landasan yang sudah dibina, tanpa memisahkan aspirasi muda atau tua.

"Jangan terpedaya dengan janji sekadar halwa telinga. Ramai yang masih ingat bagaimana PH (Pakatan Harapan) hadir dengan 'projek Malaysia Baru.' Setelah 22 bulan, ia jadi projek politik yang gagal.

"Johor tidak memerlukan jenama yang 'sexy' seperti Johor Bangkit atau 'reset Johor' atau pelbagai lagi. Apalagi di pisahkan antara aspirasi muda atau yang tua.

"Malaysia perlukan aspirasi yang mengumpulkan yang muda dan tua, kaya dan miskin, yang pelbagai bangsa dan agama. Semuanya bersama demi sebuah kestabilan dan menjayakan Johor yang lebih baik," katanya.

PRN Johor kali ini menyaksikan 239 calon daripada 10 parti politik dan 16 calon Bebas layak bertanding di 56 kerusi DUN dengan dua kerusi DUN menyaksikan pertembungan tujuh penjuru dan enam penjuru di empat kerusi DUN, manakala pertandingan lima penjuru di lapan kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 11:37 AM