Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: "Pagi semalam abang ada berbincang dengan kami berhubung perancangannya untuk belikan umi dan abah kereta. Tak sangka pula ini terjadi," kata pekerja kedai butik, Jannahtul Nur Afiqah Jailani, 21.

Abangnya, Jannahtul Firdaus, 24, maut dalam kemalangan selepas motosikal ditungganginya melanggar sebuah lori di Bulatan Seri Bayan, Durian Tunggal, Alor Gajah, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Ketika kejadian mangsa yang juga penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kimpalan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bekerja sebagai penghantar makanan sempena cuti semester.

Menurut Jannahtul Nur Afiqah, arwah tidak menunjukkan petanda atau perubahan pelik sebelum kejadian.

"Cuma dua tiga hari lalu dia yang dibesarkan di rumah nenek kerap balik ke rumah," katanya dalam nada sebak ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Sementara itu, bapanya Jailani Md Ali, 53, terkejut dengan pemergian anak kedua daripada empat beradik itu.

"Dia ada beritahu nak berehat hari ini, tapi dalam jam 9 pagi, dia sudah keluar dan saya tidak tahu dia pergi ambil atau hantar makanan.

"Kira-kira jam 12 tengah hari saya dapat panggilan daripada nombor tidak dikenali beritahu anak kemalangan.

"Saya nampak gambar di aplikasi WhatsApp dan cam itu motosikal ditunggang Firdaus kerana saya biasa menunggangnya serta keadaan anak yang ditutupkan kain," katanya.

JANNAHTUL Nur Afiqah bersama ibu saudaranya sebak ketika memeriksa barangan peninggalan arwah di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
JANNAHTUL Nur Afiqah bersama ibu saudaranya sebak ketika memeriksa barangan peninggalan arwah di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

Sementara itu, suasana pilu di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik apabila ahli keluarga terdekat dan kenalan arwah turut hadir sementara menunggu untuk proses bedah siasat.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang menunggang Honda RS150R dalam perjalanan dari arah Gangsa ke Batu Berendam, manakala lori berkenaan hendak ke arah Taman Merdeka dari arah Gangsa.

"Kemalangan berlaku apabila lori yang berada di lorong kiri di dalam bulatan dilanggar oleh motosikal ditunggangi mangsa pada bahagian tepi hadapan sebelah kanan ketika hendak membelok ke kanan.

"Siasatan juga mendapati terdapat kesan geseran di lokasi kemalangan dan setakat ini tiada saksi tampil untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Arshad mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Katanya, pemandu lori berusia 34 tahun itu tidak cedera dan diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 8:50 PM