Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: "Kalau nak ambil tindakan... kami sudah buat laporan polis pada hari pertama kejadian. Tetapi kami anggap kejadian itu (menampar) biasa saja kerana anak kami tidak cedera," kata Abd Halim Bakar, 50, bapa kepada pemain bola tampar Bawah 14 tahun Melaka, Nur'saidatul Akma, 14.

Abdul Halim berkata, dia sekeluarga sudah berbincang dengan bapa kepada seorang lagi pemain bola tampar yang turut ditampar jurulatih sebelum ini.

Menurutnya, mereka sepakat memaafkan guru terbabit serta berharap isu itu tidak diperbesarkan lagi oleh mana-mana pihak.

"Jasa guru terbabit yang mesra disapa 'Cikgu Hadee' amat besar dalam membangunkan sukan bola tampar di Melaka atas inisiatif sendiri bersama rakan-rakannya. Dia berjaya mencungkil bakat dan melatih dua anak perempuan kami sejak sekolah rendah hingga menengah.

"Dia (jurulatih) dah menyumbang banyak dalam menaikkan nama Melaka, takkan kerana kesalahan kecil ini nak jatuhkan atau tutup periuk nasinya hingga mungkin kelab bola tampar ini tiada lagi.

ABD Halim dan isteri menunjukkan medal dimenangi dua anak perempuannya dalam sukan bola tampar mewakili Melaka. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
ABD Halim dan isteri menunjukkan medal dimenangi dua anak perempuannya dalam sukan bola tampar mewakili Melaka. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

"Saya lihat dia bangunkan pasukan bola tampar ini dalam keadaan sukar. Bukan saja guna wang sendiri malah terpaksa menumpang padang di beberapa tempat untuk berlatih kerana tiada gelanggang kekal.

"Malah, dua anak perempuan saya, Nur'saidatul Akma dan Nur'syaafiah, 16, berjaya mewakili Melaka dalam acara bola tampar dan menang tempat keempat bawah 14 dan 16 tahun," katanya ketika ditemui bersama isterinya, Hartin Wagimun, 48, di rumah mereka di Kampung Melekek, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan keputusan sama ada menggantung tugas jurulatih terbabit berhubung insiden menampar dua pemainnya diputuskan selepas mesyuarat pasca Exco.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam dipetik berkata, setakat ini tiada tindakan diambil Majlis Sukan Negeri Melaka (MSN) terhadap jurulatih berkenaan meskipun Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) sudah memutuskan tindakan menggantung sementara guru terbabit dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, beliau diberitahu anaknya bahawa insiden berkenaan kali pertama berlaku sepanjang dilatih oleh guru terbabit dan tidak wajar dia dikenakan tindakan tegas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 5:13 PM