Ismail Sabri (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada calon APEL di  Karnival KPT #KeluargaMalaysia sambil diperhatikan Noraini (kanan). FOTO ihsan MQA
Ismail Sabri (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada calon APEL di Karnival KPT #KeluargaMalaysia sambil diperhatikan Noraini (kanan). FOTO ihsan MQA
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) untuk Anugerah Kelayakan Akademik (APEL.Q) mendapat sambutan menggalakkan warga Johor di Karnival KPT #KeluargaMalaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata masyarakat di Johor tidak melepaskan peluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif itu di reruai (booth) MQA.

Katanya, inisiatif yang menggalakkan pengajian sepanjang hayat (PSH) itu menjadi tumpuan apabila sering ditanya pengunjung karnival berkenaan.

"Inisiatif ini (APEL.Q) mengiktiraf pembelajaran individu melalui pengalaman sebelumnya, justeru wajarlah ia menjadi sesuatu yang menarik perhatian masyarakat umum di sini terutama yang ingin meningkatkan kelayakan akademik masing-masing.

"Pengalaman itu dikumpul daripada apa yang berlaku di tempat kerja dan bentuk pembelajaran lain iaitu formal, bukan formal serta pendidikan atau latihan pembangunan profesional berterusan yang tidak rasmi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Karnival selama tiga hari bermula 17 Februari yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk Jom Masuk IPT, MYFutureJobs PERKESO, Mobile Clinic by Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) dan banyak lagi.

Pada program itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sijil APEL kepada enam penerima dari dua universiti iaitu masing-masing dua APEL.A yang melayakkan mereka menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan empat APEL.Q yang membolehkan mereka menerima pensijilan akademik (APEL.Q).

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Muhammad; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Dr Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar dan Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, APEL.Q hanya memerlukan pemohon untuk memenuhi minimum tahun bekerja sebagai pengalaman pada tahap sesuai dalam bidang yang relevan.

Beliau berkata, bagi peringkat sijil memerlukan pemohon yang mempunyai lima tahun pengalaman, Diploma (10 tahun), Diploma Lanjutan (12 tahun), Ijazah Sarjana Muda (15 tahun), Ijazah Sarjana (20 tahun) dan Ijazah Kedoktoran (25 tahun).

Katanya, banyak kelebihan mengikuti APEL.Q seperti menggalakkan individu bekerja untuk memperoleh kelayakan yang lebih tinggi, mengelakkan pembelajaran yang berulang dan mengurangkan kos pengajian.

"APEL.Q menjadikan sistem pendidikan tinggi kita lebih fleksibel dan setanding negara maju yang rata-ratanya telah mengiktiraf pembelajaran terdahulu.

"Selain menjadi satu daripada kaedah untuk mewujudkan budaya PSH, APEL.Q juga akan melahirkan masyarakat berilmu yang menyumbang ke arah pembangunan modal insan negara melalui pengiktirafan pekerja berkemahiran.

"Semua itu akan memberi kesan kepada ekonomi dan pembangunan sosial masyarakat seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 9:23 PM