MUHAMMAD Allif (tengah) menyerahkan bantuan kewangan sekali beri kepada penjaja kecil yang dipindahkan ke pusat penjaja baharu di Kota Rembau. FOTO Ihsan Muhammad Allif
MUHAMMAD Allif (tengah) menyerahkan bantuan kewangan sekali beri kepada penjaja kecil yang dipindahkan ke pusat penjaja baharu di Kota Rembau. FOTO Ihsan Muhammad Allif
Mohd Amin Jalil

Rembau: Seramai 10 penjaja kecil di Pekan Kota, di sini, berpeluang menjalankan perniagaan di lokasi lebih strategik dan selesa selepas ditempatkan di pusat penjaja baharu disediakan Majlis Daerah Rembau (MDR).

Sebelum ini, mereka menjaja secara berselerak di tepi jalan dan kawasan tersorok, sekali gus menyukarkan mereka mendapat pelanggan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota, Muhammad Allif berkata, penempatan mereka di lokasi itu ternyata memberi nafas baharu kepada penjaja terbabit untuk mendapatkan pulangan lebih baik.

"Penjaja ini diberikan satu kios setiap seorang dengan kebanyakan mereka menjual makanan seperti nasi lemak, goreng pisang dan minuman serta produk kampung seperti ulam, sayur-sayuran serta buah-buahan.

"Berikutan mereka bersetuju berpindah ke pusat penjaja itu, semua penjaja terbabit menerima bantuan kewangan RM300 seorang sebagai insentif daripada kerajaan negeri.

"Bantuan kewangan itu bertujuan meringankan beban mereka untuk memulakan perniagaan di tempat baharu," katanya selepas menyerahkan bantuan itu di pusat penjaja itu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 5:45 PM