Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) melarang peniaga mengenakan caj tambahan untuk pembayaran menggunakan kad debit seperti yang dinyatakan di bawah Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran diperkenalkan BNM.

Bank pusat itu berkata, larangan sama juga tertakluk kepada kad kredit sejajar dengan peraturan skim kad antarabangsa seperti Visa dan Mastercard.

Katanya, larangan terhadap caj pembayaran itu dipantau dan dikuatkuasakan oleh bank yang menyediakan kemudahan e-pembayaran kepada saudagar.

“Pengguna yang berdepan dengan situasi di mana peniaga mengenakan caj tambahan dinasihatkan untuk membuat aduan kepada bank atau pengeluar kad pembayaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

BNM menambah salah satu sebab peniaga mengenakan caj tambahan itu adalah bagi menampung semula kos yang dikenakan kepada mereka apabila menerima bayaran menggunakan kad pembayaran.

Katanya, peniaga biasanya mengenakan caj yuran transaksi juga dikenali Kadar Diskaun Saudagar (MDR).

“Di peringkat global, banyak negara menguatkuasakan pelbagai pendekatan dalam menangani isu caj tambahan dikenakan oleh peniaga jika menggunakan kad pembayaran.

“Di Kesatuan Eropah dan United Kingdom, peniaga dilarang mengenakan caj tambahan ke atas pengguna untuk urus niaga membabitkan kad kredit dan kad debit.

“(Bagaimanapun) Di Australia, peniaga berhak mengenakan caj tambahan terhadap pelanggan yang membayar menggunakan kad pembayaran yang lebih mahal seperti kad kredit.

“Rasional pendekatan berkenaan adalah untuk menghantar isyarat bagi menggalakkan pengguna membayar menggunakan kad debit yang lebih efektif dari segi kos,” katanya.

Di Malaysia, BNM memperkenalkan langkah seperti Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran dan Rangka Kerja Pemindahan Kredit bagi merendahkan kos kepada peniaga apabila menerima kaedah pembayaran elektronik yang lebih efektif dari segi kos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 1:57 AM