Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Beberapa kali digigit beruk menjadi asam garam serta cabaran yang terpaksa dilalui pelatih untuk memastikan haiwan dilatihnya mempunyai kemahiran memanjat dan memetik kelapa.

Seorang pelatih beruk, Samsuddin Ibrahim, 50, berkata, sehingga kini dia sudah melatih lebih 100 ekor beruk sejak 30 tahun lalu berbekalkan ilmu dan juga teknik yang diwarisi daripada arwah datuknya, Mohd Awang Kecil.

Menurutnya, beruk mempunyai tahap 'kecerdikan' yang berbeza dan bagi beruk 'cerdik' ia hanya memerlukan masa selama dua bulan untuk memahami arahan memetik kelapa berbanding dengan beruk kurang cerdik yang mengambil masa agak lama untuk dilatih.

"Beruk yang dilatih ini dibeli dengan penduduk kampung di seluruh negara dengan harga RM250 seekor dan apabila ia sudah mahir memetik kelapa, saya akan menjualnya antara harga RM1,500 hingga RM4,000 seekor bergantung kepada tahap kecerdikan dan kemahiran yang dimiliki.

"Ada juga individu yang menghantar beruk mereka untuk dilatih dan saya mengenakan caj bayaran RM300 seekor. Kebiasaaanya beruk yang berusia dua tahun ke atas lebih senang dilatih kerana lebih gagah untuk memetik buah.

"Ada beruk yang tidak perlu dilatih sebaliknya hanya melihat gerak-geri beruk lain memetik kelapa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Sadang di sini, hari ini.

Bapa kepada dua cahaya mata yang berusia 9 dan 12 tahun itu berkata, bagi memastikan beruk yang dilatihnya mempunyai tenaga yang cukup, pada setiap pagi dia akan memberi haiwan itu minum susu dan pada sebelah petang pula diberi minum air gula yang dicampurkan dengan tiga biji telur ayam.

SAMSUDDIN melatih beruknya yang diberi nama Salleh berusia tiga tahun mengigit kelapa. HAZIRA AHMAD ZAIDI
SAMSUDDIN melatih beruknya yang diberi nama Salleh berusia tiga tahun mengigit kelapa. HAZIRA AHMAD ZAIDI

Menurutnya, pada waktu malam pula diberi makan nasi kosong yang digaul bersama dengan telur ayam selain diberi suntikan vaksin setiap enam bulan sekali.

"Perkara yang perlu dimiliki seorang pelatih beruk adalah naluri dan memahami gerak badan haiwan itu kerana melalui pergerakan pelatih dapat menduga sikap serta perangai beruk ini.

"Pada setiap hari, saya akan melatih beruk selama satu jam, sama ada pada waktu pagi, petang atau malam.

"Kebiasaannya, haiwan ini lebih gemar dilatih pada waktu malam kerana tidak mahu diganggu atau tidak mahu sesiapa melihatnya ketika dilatih.

"Terdapat lima teknik yang digunakan untuk melatih beruk iaitu cara memijak kelapa, memulas kelapa, menggigit kelapa, mengupas kelapa dan memetik kelapa dengan menggunakan kaki," katanya yang mempunyai lesen memelihara beruk daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Dia yang juga lebih dikenali sebagai Sudin Chepo berkata, dia mempunyai seekor beruk diberi nama Sadat berusia empat tahun yang mempunyai tahap kecerdikan yang 'luar biasa' dan ada yang sanggup membelinya pada harga RM5,000.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu menjualnya kerana menganggap Sadat terlalu istimewa berbanding beruk lain yang pernah dilatih selama ini.

"Selain dijadikan hobi, memelihara dan melatih beruk, ia juga menambah pendapatan dengan menjalankan perkhidmatan memetik kelapa.

"Biasanya saya dibayar upah memetik kelapa iaitu RM25 untuk 100 biji dan biasanya seekor beruk mampu memanjat serta memetik 500 hingga 700 biji kelapa sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 2:18 PM