Lady mengikut anggota bomba melakukan rondaan untuk mencari Shukri selepas terjatuh bersama kenderaannya dari Jambatan Tembila, Jerteh semalam. Foto Nurul Fatihah Sulaini
Lady mengikut anggota bomba melakukan rondaan untuk mencari Shukri selepas terjatuh bersama kenderaannya dari Jambatan Tembila, Jerteh semalam. Foto Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Seekor anjing pengesan, Lady digunakan untuk membantu mengesan mencari Shukri Wahab yang terjatuh ke dalam sungai berhampiran Jambatan Tembila di sini, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Muhammad Basri Kamarazaman berkata, anjing pengesan itu tiba di lokasi pada 4.55 petang dan diaktifkan untuk tugasan pada 5.45 petang.

Menurutnya, sebelum ini beg sandang milik mangsa yang berusia 52 tahun itu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 12 tengah hari.

"Beg sandang itu ditemukan berhampiran tebing sungai kira-kira empat kilometer dari lokasi kenderaan pacuan empat rodanya terjunam semalam.

"Ahli keluarganya yang melakukan pengecaman mengesahkan beg sandang itu milik mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Basri berkata, fokus pencarian Shukri kini tertumpu kepada empat kilometer dari lokasi kejadian berikutan petunjuk terbaharu berkenaan.

Menurutnya, selain pencarian di kawasan sungai menggunakan bot, operasi juga akan dilakukan di daratan dalam radius yang sama.

Semalam, Shukri dikhuatiri lemas selepas kenderaan dinaikinya bersama isterinya, Azizah Mohamad Yusof, 51, hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam Sungai Keluang Besar sewaktu melalui Jambatan Tembila.

Bagaimanapun, Azizah terselamat apabila sempat berpaut pada sebatang pokok di tebing sungai namun Shukri gagal ditemukan walaupun kenderaannya berjaya dinaikkan dengan menggunakan kren pada 6.25 petang semalam.

Berita berkaitan

Kenderaan berjaya dibawa naik, jasad Shukri tiada

Pemandu dikhuatiri lemas, Hilux terjunam dalam sungai

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 7:05 PM