Hafiz Ithnin


CAHAYA matahari petang menyimbah bumi ternyata menjadi adunan terbaik pemandangan sebaik tiba di daerah Kerian yang begitu sinonim dengan aktiviti mendaki Gunung Semanggol.

Petak tanah terisi padi menguning sedia untuk dituai dengan bangau liar terbang bebas di kawasan itu, ternyata memberi ketenangan buat penulis yang tidak dilahirkan di kawasan kampung seperti itu.

Hasil carian di laman web untuk lokasi bermalam di kawasan berkenaan, penulis ditemukan dengan sebuah inap desa yang mempunyai konsep rumah kampung dan terletak di tengah kawasan sawah padi.

Teratak Toksu Simpang Empat ialah lokasi yang dimaksudkan. Usai berbual pendek menerusi WhatsApp, pemiliknya, Ahmad Zabidi Tusin atau lebih mesra disapa Pak Su memberitahu tiga unit inap desanya masih boleh disewa.

Paling memuaskan hati, sebaik melangkah masuk panorama bendang yang terisi padi menguning menjamu mata dan pastinya tidak sabar untuk mengail di hadapan bilik kerana kenakalan ikan puyu galak melompat-lompat seakan-akan memanggil untuk diberikan umpan.

 PEMANDANGAN inap desa dan bendang yang menarik. FOTO Ahmad Hibatullah Razali
PEMANDANGAN inap desa dan bendang yang menarik. FOTO Ahmad Hibatullah Razali

Cengkerik yang dibeli di pekan dijadikan umpan untuk mengail ikan yang sinonim di kawasan bendang itu. Seekor demi seekor dapat dinaikkan dengan mudah kerana Pak Su memberitahu ketika ini air di bendang semakin surut.

Pada sebelah petang, tidak dilepaskan peluang untuk ‘pusing’ kampung menaiki basikal yang disediakan inap desa itu. Sepanjang melalui jalan kampung yang hanya boleh memuatkan sebuah kereta, kelihatan ramai penduduk setempat mengail di kawasan parit. Pelbagai kaedah mereka gunakan untuk menaikkan ikan liar yang hidup di kawasan bendang antaranya joran dan jaring.

Ketika berbasikal, penulis terserempak seorang pemuda di dalam parit yang sibuk mengeluarkan ikan haruan sebesar lengan dan dua lagi sudah dinaikkan di atas darat. Tidak menggunakan joran atau jaring tetapi ia dikenali sebagai jolok gelong.

Kaedah itu menggunakan kabel elektrik yang dipotong sekitar lima meter dan di hujungnya dibalut beg guni untuk menjolok lubang air yang menghubungkan antara petak sawah dan parit.

AKTIVITI menjolok gelong yang menyeronokkan.  FOTO Ahmad Hibatullah Razali
AKTIVITI menjolok gelong yang menyeronokkan. FOTO Ahmad Hibatullah Razali

Melihat keseronokan pemuda itu yang mesra disapa Nizam, penulis menawarkan diri untuk turut sama melakukan aktiviti itu walaupun perlu bermain lumpur dan berdepan dengan sang pacat.

Sebaik lubang air itu dijolok perlahan-lahan sehingga menghampiri lubang yang diserkup jaring, dua ekor ikan haruan masuk ke dalam perangkap kami. Menggelupur haruan itu untuk melepaskan diri.

Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata keseronokan ketika itu kerana dapat memerangkap sang haruan liar yang cukup sukar dijinakkan. Malah, Nizam yang sudah menjadikan aktiviti itu rutin setiap petang turut memberitahu, walaupun sudah dipegang, ikan itu mampu melompat ke dalam air semula kerana sifat agresifnya.

Petang itu dari satu lubang ke satu lubang air di bendang kami jejaki untuk menangkap haruan dan sebelum pulang kami mengira hasil tangkapan hari itu yang pelbagai saiz. Tersenyum apabila kiraan mencapai angka 12. Lumayan juga!

Di kawasan Simpang Empat ada beberapa restoran yang boleh disinggahi. Bagaimanapun, penulis tertarik untuk menjengah Pasar Malam Kemunting biarpun terpaksa memandu sejauh 15 kilometer dalam keadaan penat selepas ‘bertarung’ dengan haruan.

PANORAMA Gunung Semanggol di hadapan bendang.  FOTO Ahmad Hibatullah Razali
PANORAMA Gunung Semanggol di hadapan bendang. FOTO Ahmad Hibatullah Razali

Pelbagai juadah tempatan disediakan dan terdapat juga barangan jualan lain seperti pakaian, ikan hiasan dan barangan antik.

Kembali ke inap desa dengan pelbagai juadah dibeli membuatkan penulis tersenyum sendiri tanda begitu tenang berada di sini malah bercadang berada di Semanggol satu malam lagi.

Keesokannya seawal jam 5 pagi, kedinginan mengejutkan penulis. Di luar masih gelap dan elok benar penulis tersedar seawal itu dan dalam 45 minit, puncak Gunung Semanggol sudah penulis tawan. Terbentang luas pemandangan bendang dan pekan kecil di bawahnya. ‘Sarapan’ pagi itu memang terbaik.

Sebaik turun ke kawasan pekan, menu masakan kampung menjadi pilihan dan seperti yang dikatakan pada awal tadi, di Pekan Simpang Empat terdapat banyak kedai makan yang diusahakan masyarakat setempat untuk dicuba.

Sejauh Alaska yang pernah penulis jejaki, akhirnya Semanggol juga yang melekat di hati!

 PENULIS memegang alatan jolok gelong dan ikan haruan yang berjaya ditangkap.  FOTO Ahmad Hibatullah Razali
PENULIS memegang alatan jolok gelong dan ikan haruan yang berjaya ditangkap. FOTO Ahmad Hibatullah Razali

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 10:30 AM