KERETA BMW dipandu seorang lelaki secara laju dan melulu melanggar empat kenderaan di Jalan Balakong menghala Seri Kembangan, Serdang, kelmarin.
KERETA BMW dipandu seorang lelaki secara laju dan melulu melanggar empat kenderaan di Jalan Balakong menghala Seri Kembangan, Serdang, kelmarin.
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental ditahan selepas kereta dipandunya melanggar empat kenderaan di Jalan Balakong menghala Seri Kembangan, di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, kemalangan yang berlaku jam 3.50 petang itu membabitkan kereta Perodua Myvi, Mazda 8, Honda Jazz dan motosikal Yamaha LC135 selain BMW dipandu suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek berusia 36 tahun memandu BMW berkenaan secara laju dan melulu sebelum melanggar Perodua Myvi, Mazda 8 dan Honda Jazz dari arah belakang.

"Selain itu, BMW berkenaan turut melanggar motosikal Yamaha LC135 yang ditunggang penghantar makanan dari arah belakang.

"Pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit gagal mengawal kenderaannya lalu terjatuh di atas jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan ringan pada tangan kanan serta badan dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.

"Sepasukan anggota Balai Polis Salak Selatan Baru, Cheras menahan suspek pada jam 7.10 malam selepas dia didapati melanggar beberapa kenderaan lain di Sungai Besi.

"Hasil ujian saringan awal air kencing serta alkohol terhadap suspek didapati negatif dan dia dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tindakan lanjut.

"Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai kad rawatan mental dari PPUM. Selain itu, suspek juga didapati tiada lesen dan saman akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan iaitu rakannya yang meminjamkankan kereta berkenaan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 5:21 PM