Keadaan sebuah motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah, di sini, malam tadi. FOTO IHSAN PDRM
Keadaan sebuah motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah, di sini, malam tadi. FOTO IHSAN PDRM
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Dua termasuk kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada 9 malam itu, mangsa yang juga penunggang motosikal Yamaha Y-15 berusia 41 tahun dan pembonceng motosikal Yamaha LC135 berusia 10 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat para di kepala.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal Yamaha LC135 keluar dari simpang menghala ke Kota Bharu.

Katanya, tiba-tiba datang dua motosikal Yamaha Y-15 dan Honda EX-5 dari arah Kota Bharu dan bertembung secara berdepan.

"Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal Yamaha Y-15 berusia 41 tahun tercampak ke laluan bertentangan dan dirempuh kereta Toyata Vios.

"Pembonceng motosikal Yamaha LC135 berusia 10 tahun turut maut. Mayat dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Adli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairulanwar Adam di talian 011-10085165 atau boleh menghubungi bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di talian 09-9751222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 5:46 PM