Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan kerana memiliki dua pucuk pistol serta 72 peluru pelbagai jenis di Bukit Kayu Hitam, di sini tahun lalu.

Tertuduh, T Dinesh, 30, yang berpakaian baju T kelabu dan seluar jeans mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Bagi pertuduhan pilihan Dinesh dituduh memiliki masing-masing sepucuk pistol semi automatik jenis CZ2075 RAM 9X19 warna hitam dan pistol jenis Beretta MCD 950-B-CAL 6.35 warna perak tanpa lesen atau permit sah.

Bagi pertuduhan pindaan pula, tertuduh didakwa memiliki 50 butir peluru Bullet Master 9mm dan 22 butir peluru hidup jenis win 25 auto tanpa lesen sah.

Dinesh dituduh melakukan kesalahan itu di Point A, Pusat Kawalan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada 2.50 petang, 17 Julai 2015.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Danesh dituduh mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Prosiding kes dijalankan Rehab Abdul Shukur dan tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 3:15 PM