MAHDZIR (tengah) bersama dengan sebahagian penerima perumahan KEDA di Taman Desa Pudina, Kubang Kenyeng, Kuala Nerang. FOTO Luqman Hakim Zubir
MAHDZIR (tengah) bersama dengan sebahagian penerima perumahan KEDA di Taman Desa Pudina, Kubang Kenyeng, Kuala Nerang. FOTO Luqman Hakim Zubir
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: "Saya sebak kerana tidak dapat berkongsi kegembiraan hari ini bersama arwah suami. Dialah paling mengharap kami dapat tinggal di rumah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA)," kata Sakiroh Shuib.

Balu berusia 39 tahun ini berkata, kematian suami Mohd Irwan Ismail, 36, serta anak keempat mereka Muhamamd Amir Arsyad, 6, memberi tamparan hebat kepadanya apabila terpaksa membesarkan lima anak bersendirian.

Katanya, permohonan memiliki rumah KEDA sudah dibuat beberapa kali sejak 2010 namun rezeki belum menyebelahi mereka ketika itu.

"Suami dan anak saya meninggal dunia akibat kemalangan ketika dalam perjalanan menjemput anak saya di sekolah.

"Alhamdulillah, akhirnya kami dapat duduki rumah ini pada 2 Disember tahun lalu, saya tak mampu ungkapkan dengan kata-kata. Pendapatan suami saya dengan menjual aiskrim sebelum ini hanya RM600 sebulan.

"Terima kasih kepada KEDA kerana prihatin dengan golongan seperti saya, hanya Tuhan saja yang dapat membalas kebaikan kerajaan terhadap kami," katanya.

Sakiroh antara 60 penerima perumahan KEDA di Taman Desa Pudina yang mula menduduki rumah masing-masing sejak Disember tahun lalu.

PERUMAHAN KEDA Taman Desa Pudina, Kubang Kenyeng, Kuala Nerang. FOTO Luqman Hakim Zubir
PERUMAHAN KEDA Taman Desa Pudina, Kubang Kenyeng, Kuala Nerang. FOTO Luqman Hakim Zubir

Seorang lagi penerima, Mohd Afzan Faizal Kamal Ridzuan, 45, berkata, dia bersyukur dapat memiliki rumah sendiri untuk berteduh.

Katanya, dengan pendapatan RM500 sebulan sebagai pemotong rumput, dia tidak sangka permohonannya memiliki rumah KEDA diluluskan.

"Isteri saya Noraidah Yusuf, 44, menghidap kencing manis kronik dan baru saja menjalani pembedahan menebuk buah pinggang untuk proses dialisis. Anak bongsu saya pula Nor Auni Atiah, 8, pula Sindrom Down dan turut menghidap jantung berlubang sejak dilahirkan.

"Terima kasih KEDA dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kerana membantu saya sekeluarga, jika sebelum ini kami tinggal di rumah yang diberikan majikan, sekarang kami dapat tinggal di rumah sendiri yang pastinya lebih selesa," katanya.

Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Kubang Kenyeng atau dinamakan sebagai Taman Desa Pudina adalah salah satu insiatif daripada KPLB dan KEDA sebagai agensi pelaksana.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid hadir merasmikan PPK itu kelmarin.

Mahdzir berkata, pemilihan keluarga yang layak menerima rumah berkenaan mengambil kira beberapa faktor antaranya keluarga yang tinggal secara beramai-ramai di dalam sesebuah rumah.

"Tentunya kita mengutamakan mereka yang miskin sehingga dalam sebuah rumah itu ada tiga hingga empat keluarga berikutan tidak mampu memiliki rumah sendiri.

"Kita akan beri rumah kepada keluarga seperti ini, dalam masa yang sama seiring dengan pembinaan rumah PPK ini, kita juga pastikan terdapat pembangunan sosio ekonomi di persekitaran mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 11:00 AM