Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengembara dari Malaysia yang lengkap divaksin tidak perlu menjalani kuarantin untuk memasuki India berkuat kuasa hari ini, menurut Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia.

Selain itu, ujian RT-PCR Covid-19 pra penerbangan juga tidak wajib bagi pengembara lengkap divaksin yang tiba di India dari Malaysia.

"Sebagai pemacu vaksinasi terbesar di dunia, bermula dengan vaksin Aatmanirbhar India dan protokol Covid-19 ditetapkan, India melonggarkan sekatan perjalanan untuk pelancong yang datang ke India dari Malaysia.

"Suruhanjaya Tinggi India mendoakan keselamatan dan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan di India untuk pengembara Malaysia," menurut Suruhanjaya Tinggi itu menerusi catatan Facebook.

Meskipun tiada pengiktirafan rasmi bersama bagi pensijilan Covid-19 yang ditandatangani antara Malaysia dan India, kedua-dua kerajaan mengiktiraf sijil vaksinasi dalam amalan diplomatik dan di lapangan.

Pintu pelancongan India dibuka semula pada 15 November tahun lalu bagi ketibaan dari semua negara dengan beberapa sekatan bergantung dari mana pengembara berlepas.

Menurut laporan di CNN Travel, penerima vaksin yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau di negara yang mempunyai perjanjian pengiktirafan bersama sijil vaksin dengan India tidak perlu mengemukakan ujian semasa ketibaan berkuat kuasa hari ini.

Setakat 10 Februari lalu, senarai itu merangkumi 82 negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) dan mereka yang tidak memenuhi syarat masih perlu melakukan ujian.

Laporan itu turut menyatakan mulai hari ini, tiada kuarantin sejurus ketibaan dan penumpang antarabangsa diminta 'memantau sendiri kesihatan mereka' selama 14 hari selepas ketibaan.

Semua penumpang dinasihatkan menyemak garis panduan perjalanan yang dikemas kini di https://mohfw.gov.in.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 6:30 PM