Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 25 individu membabitkan sembilan penipuan disyaki terbabit penjualan sijil vaksin palsu yang dikesan di seluruh negara sehingga hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, daripada jumlah itu, tiga individu yang ditahan membabitkan doktor, tiga jururawat, 11 orang awam, tujuh ejen dan seorang staf klinik.

"Ada sembilan kes yang kita kesan setakat ini dengan kebanyakan siasatan kes berkenaan sudah hampir selesai dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan tuduh.

"Kes lain berkaitan isu ini yang masih dalam siasatan juga akan diselesaikan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, kes terbaru yang dikesan pihaknya membabitkan sijil vaksin palsu dilaporkan di Kinarut, Sabah, pada minggu lalu.

"Kami menerima laporan daripada seorang staf klinik pada 4 Februari lalu yang melaporkan seorang doktor melakukan aktiviti penjualan sijil vaksin palsu.

"Suspek berkenaan yang juga seorang doktor berusia 37 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Februari lalu," katanya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menerima dua laporan di Selangor berkaitan penipuan penjualan kit ujian Covid-19 membabitkan kerugian RM710,000.

Mohd Kamarudin ketika sidang media mengenai sindiket penipuan jenayah dalam talian di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, Menara KPJ. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Mohd Kamarudin ketika sidang media mengenai sindiket penipuan jenayah dalam talian di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, Menara KPJ. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Katanya, sejak penularan wabak Covid-19, wujud permintaan tinggi untuk mendapatkan kit ujian pengesanan Covid-19 yang mewujudkan modus operandi baharu berkaitan penipuan penjualan alat berkenaan.

"Berdasarkan siasatan dilakukan, kedua-dua mangsa yang juga ahli perniagaan mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat yang mendakwa boleh membantu dalam pembelian kit ujian pengesanan Covid-19 dari syarikat pengeluar di China pada Januari lalu.

"Mengikut laporan dibuat, seorang daripada mangsa memaklumkan dia membuat pembayaran sebanyak RM600,000 bagi 100,000 kit ujian yang termasuk dengan kos penghantaran," katanya.

Menurutnya, selepas pembayaran dibuat, mangsa tidak menerima kit ujian yang dibeli sebelum membuat semakan terus dengan syarikat pengeluar di China dan mendapati tiada sebarang pesanan diterima pihak pengeluar.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai termasuk peniaga supaya sentiasa berwaspada dan melakukan semakan sewajarnya sebelum membuat transaksi pembayaran terutama membabitkan jumlah yang banyak.

"Jangan terlalu ghairah dengan tawaran harga yang murah kerana dikhuatiri ia sekadar untuk memperdayakan.

"Sebarang keraguan, nasihat mahupun penyaluran maklumat berkaitan jenayah komersial boleh dibuat dengan menghubungi CCID Response Center di talian 03-26101559/03-26101599," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 1:52 PM