Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mengkaji mengubah masa tindak balas (respon time) ke lokasi insiden dalam tempoh lapan minit, berbanding 10 minit ketika ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kajian itu dilakukan susulan cadangan disuarakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagi memastikan misi pemadaman dan penyelamatan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Beliau berkata, saranan untuk memendekkan masa tindak balas selari dengan masa tindak balas beberapa negara maju seperti Jepun dan United Kingdom iaitu lapan minit.

"Jadi (kalau) kita nak turunkan kepada lapan minit, pelbagai perkara perlu dikaji terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat kementerian.

"Antara isu perlu dilihat termasuklah keanggotaan dan balai yang mencukupi untuk kita melihat semula sasaran memendekkan masa tindak balas ini sama ada boleh atau tidak untuk dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Terengganu dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur Tahun 2020 di ABPM Wilayah Timur di Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 70 pegawai dan anggota di JBPM Terengganu dan ABPM Wilayah Timur menerima anugerah dan sijil penghargaan masing-masing.

Turut menerima penghargaan, Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Ab Rashid yang menerima Sijil Perkhidmatan 30 Tahun.

Mohammad Hamdan berkata, setakat bulan ini, 147,000 panggilan kecemasan diterima dengan purata 500 panggilan setiap hari dan 20 panggilan setiap jam di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, pihaknya hanya mencapai 58 peratus sahaja masa tindak balas kurang daripada 10 minit.

"Dalam sesetengah kes, kita tak mampu capai kerana kekangan pegawai dan anggota serta kekurangan balai serta jarak balai dengan lokasi kejadian.

"Sebagai contoh, di Bintulu, Sarawak, balai di sana menjaga kawasan sebesar negeri Pahang dan Melaka, jadi untuk sampai dalam masa 10 minit memang mustahil (dan) sebab itu ada naratif tertentu yang diguna pakai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 5:01 PM