LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Polis
LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Polis
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Selepas hampir 13 jam bertarung nyawa, lelaki warga emas yang terbabit dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor kerbau di Kilometer 5 Jalan Kuala Berang-Tanggol berhampiran Kampung Pulau Kudat di sini, meninggal dunia malam tadi.

Mangsa, Ilias Awang,76, yang parah pada anggota badan disahkan meninggal dunia, jam 9.06 malam, ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mengsa sebelum itu terbabit kemalangan berkenaan yang dipercayai berlaku 8.30 pagi.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Kuala Kejir ke kedai makan di Kampung Pulau Kudat untuk membeli makanan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Honda EX5 ditunggang mangsa dipercayai melanggar seekor kerbau.

"Mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dikejarkan ke HSNZ Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSNZ Kuala Terengganu untuk bedah siasat dan akan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 9:14 AM