Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Khas Sesi Disember 2019 kepada Siti Nur Ainaa Asmuni, 25, pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau Melaka (PMM) Ke-19 hari ini. FOTO BERNAMA
Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Khas Sesi Disember 2019 kepada Siti Nur Ainaa Asmuni, 25, pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau Melaka (PMM) Ke-19 hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Jasin: Impian Mohd Nur Fitri Bryan Abdullah yang terpendam selama dua tahun untuk menaiki pentas bagi menerima segulung ijazah akhirnya tercapai apabila Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau Melaka (PMM) Ke-19 dilangsungkan secara bersemuka, hari ini.

Lebih indah, graduan Diploma Akaun berusia 23 tahun berasal dari Kuala Lumpur itu, berpeluang meraikan hari bersejarah itu bersama ahli keluarganya selepas tiga tahun berpenat lelah menamatkan pengajian.

"Berikutan pandemik Covid-19 melanda kini, sudah tentu rasa sangat gembira kerana dapat majlis konvokesyen dilangsungkan walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Saya bersyukur dapat hadir walaupun sebenarnya sudah dua tahun saya tunggu sejak tamat pengajian pada Jun 2019.

"Alhamdulillah majlis ini berjalan dengan lancar dan saya dapat raikan bersama keluarga tersayang. Selepas ini fokus saya ialah mahu menyambung pelajaran dalam peringkat ijazah sarjana pula," katanya ketika selepas Istiadat Konvokesyen sidang pertama yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.

Beliau antara 2,936 graduan yang diraikan dalam majlis yang pertama kali diadakan semula selepas dua tahun tertangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020.

Pada istiadat konvokesyen itu, Mohd Nur Fitri adalah antara penerima anugerah pelajar terbaik PMM untuk Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Sesi Jun 2019 serta Anugerah Pengarah.

Turut berkongsi perasaan gembira adalah penerima Anugerah Khas Sesi Disember 2019, Siti Nur Ainaa Asmuni, 25, graduan Diploma Senibina daripada Jabatan Kejuruteraan Awam.

"Rasa teruja dapat menghadiri konvokesyen walaupun lama menunggu peluang ini. Sudah pasti saya gembira meraikannya bersama ibu serta keluarga, sebagai bukti pencapaian selepas saya habiskan masa hampir tiga tahun di politeknik," katanya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Konvokesyen PMM Ke-19 kali ini membabitkan 11 sidang meliputi graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Perdagangan dan Jabatan Pelancongan & Hospitaliti.

Majlis mengikut SOP ketat itu buat julung kalinya diadakan secara bersemuka bermula hari ini hingga 10 Februari dan turut meraikan graduan tamat pengajian sejak 2019 selepas tertangguh akibat sekatan pergerakan bagi membendung Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 4:42 PM