MAYAT mangsa ditemui terapung di kawasan perairan Pulau Gaya, berhampiran Jeti SMK Pulau Gaya, Kota Kinabalu. FOTO ihsan polis
MAYAT mangsa ditemui terapung di kawasan perairan Pulau Gaya, berhampiran Jeti SMK Pulau Gaya, Kota Kinabalu. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


MAYAT lelaki ditemui terapung di perairan laut berhampiran Jeti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya, Kota Kinabalu, jam 6.45 petang, hari ini.

Mayat lelaki yang lengkap berpakaian dengan tatu pada bahagian belakang tubuhnya ditemui orang awam sebelum menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, pihaknya menerima maklumat mengatakan satu mayat lelaki yang memakai baju merah biru terapung dengan tangan kirinya di atas pelampung keselamatan di laut Pulau Gaya.

"Siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai lemas.

"Mangsa yang ditemui tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan terdapat tatu di bahagian belakang badannya," katanya ketika dihubungi.

Chandra berkata, pelampung yang ditemui juga tidak mempunyai sebarang huruf atau angka.

"Orang ramai yang mengenali mangsa diminta tampil atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Zulfikar Abdul Salam di talian 0198009455 dan mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk bedah siasat," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 8:51 PM