Polis merampas sejumlah wang tunai dan peralatan yang digunakan individu bagi menjalankan kegiatan judi sekitar daerah Seberang Perai Utara. FOTO Ihsan PDRM
Polis merampas sejumlah wang tunai dan peralatan yang digunakan individu bagi menjalankan kegiatan judi sekitar daerah Seberang Perai Utara. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Polis menyerbu 10 premis termasuk sebuah kereta apabila disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan nombor ekor di beberapa lokasi berasingan, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Dalam serbuan itu, polis mendapati premis berkenaan berselindung di sebalik kegiatan perniagaan lain, sedangkan menawarkan perkhidmatan loteri dan perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan ke atas premi terbabit selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, seramai 11 individu berusia 20 hingga 62 tahun ditahan dalam serbuan di sekitar Butterworth, Mak Mandin, Tasek Gelugor dan Kepala Batas.

"Polis turut merampas beberapa peralatan seperti pen, kalkulator, slip kertas bercetak angka disyaki berkaitan judi loteri tidak berlesen, pencetak mini, telefon bimbit dan sebuah kereta.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Katanya, pihaknya akan meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat pemotongan bekalan elektrik di premis terbabit bagi mengelakkan kegiatan sama berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 7:00 PM