FOTO fail menunjukkan PASUKAN Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam bersama bomba memeriksa saluran paip gas ammonia di kilang berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
FOTO fail menunjukkan PASUKAN Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam bersama bomba memeriksa saluran paip gas ammonia di kilang berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan keadaan sebuah kilang memproses ayam di Bagan Tengkorak, di sini, yang menjadi lokasi kebocoran gas ammonia, petang semalam, sudah selamat.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata, operasi tamat pada 12.30 tengah malam tadi.

"Operasi ditamatkan setelah bacaan kepekatan ammonia berada dalam keadaan selamat," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiada ayam ternakan yang dilupuskan kerana kilang memproses ayam tidak terbabit dalam kejadian itu.

"Di lokasi, ada dua bangunan. Kejadian berlaku di bangunan yang memproses nugget dan sosej," katanya.

Semalam, media melaporkan lebih 450 pekerja diarah mengosongkan premis apabila sebuah kilang memproses ayam mengalami kebocoran gas ammonia pada salah satu saluran paip gas.

Seramai 463 pekerja kilang terdiri daripada 290 lelaki dan 173 wanita yang berada di tempat kejadian ketika kebocoran berlaku 1.10 tengah hari semalam.

Bagaimanapun, mereka dilaporkan terselamat daripada terhidu gas berkenaan.

Difahamkan, kejadian disedari pekerja yang melihat kebocoran pada salah satu saluran paip di kilang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 8:50 AM