KENDERAAN dihempap bumbung rumah yang runtuh akibat dipukul ribut di Kampung Tawas, semalam. FOTO Bernama
KENDERAAN dihempap bumbung rumah yang runtuh akibat dipukul ribut di Kampung Tawas, semalam. FOTO Bernama
Siti Haliza Yusop


Kuala Lumpur: Kejadian ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang di daerah Kinta, Perak, semalam berpunca daripada pembentukan awan ribut petir bersaiz sangat kecil, tetapi kuat.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, kejadian itu disifatkan sebagai setempat dan bersaiz sangat kecil, namun intensitinya meningkat dengan sangat cepat dan amat sukar untuk diramal.

Menurutnya, MetMalaysia sudah mengeluarkan amaran untuk kejadian ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang membabitkan kawasan Perak bermula 3.40 petang semalam.

Katanya, ia kemudian dikemaskini pada 6.55 petang dan 7.55 malam membabitkan beberapa daerah di Perak berdasarkan maklumat dan analisa cuaca terkini dan disebarkan melalui pelbagai medium sebaran rasmi MetMalaysia.

"Kejadian ribut petir dan angin kencang dilaporkan berlaku di daerah Kinta, Perak sekitar 6.30 petang semalam.

"Berdasarkan imej radar dan satelit, beberapa tompok awan hujan kecil terbentuk di sempadan Perak dan Pahang pada 5.50 petang.

"Tompokan awan juga tidak berkembang dengan ketara, namun awan hujan bersaiz kecil di daerah Kinta meningkat ke intensiti kuat dalam tempoh sangat singkat sekitar 6.20 hingga 6.40 petang," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat cuaca terkini boleh melayari laman web dan media sosial MetMalaysia atau melalui aplikasi mobil myCuaca.

Semalam, media melaporkan ratusan rumah mengalami kerosakan akibat angin ribut dan puting beliung di beberapa kawasan termasuk sekitar Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai, Ipoh.

Kejadian itu menyebabkan rata-rata penduduk di Kampung Tawas yang kebanyakannya didiami masyarakat Cina menzahirkan rasa sedih kerana bakal menyambut Tahun Baharu Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 3:58 PM