GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Keadaan cuaca semasa di semua negeri Semenanjung ketika ini berada dalam keadaan cerah.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkata, cuaca sama juga berlaku di semua tempat dan bahagian Sabah serta Sarawak ketika ini kecuali di bahagian timur Sabah.

"Di Perairan Sulu iaitu di bahagian timur Sabah pada ketika ini hujan berserta ribut petir sedang berlaku. Keadaan ini berbahaya kepada bot kecil dan nelayan yang ingin ke laut diharap lebih berhati-hati," kata jurucakap jabatan itu dalam video laporan cuaca.

Katanya, di sebelah petang nanti hujan berserta ribut petir masih berpotensi berlaku di beberapa negeri Semenanjung.

"Kita menjangkakan ia akan lebih tertumpu di bahagian pedalaman Semenanjung Malaysia membabitkan Selangor, Pahang, Perak dan Kelantan.

"Di beberapa negeri lain dijangka keadaan cuaca kurang hujan dan kebarangkalian untuk berlaku hujan adalah agak rendah pada hari ini," katanya.

Katanya, di Sabah dan Sarawak pada sebelah petang ini masih menjangkakan keadaan cuaca lembap, hujan berserta ribut petir akan berlaku di hampir semua bahagian.

"Tetapi ia lebih tertumpu di bahagian pedalaman negeri Sarawak dan timur Sabah," katanya.

Dalam pada itu, katanya, berdasarkan paparan carta angin, secara amnya negara menerima pengaruh angin daripada pelbagai hala dengan kelajuan agak lemah.

"Di Semenanjung angin bertiup dari arah tenggara dan barat daya manakala di Sabah dan Sarawak angin bertiup daripada pelbagai hala.

"Dengan angin bertiup daripada pelbagai hala dengan kelajuan agak lemah ia adalah kondusif bagi pembentukan awan yang boleh membawa keadaan cuaca lembap pada sebelah petang nanti," katanya.

Sementara itu, METMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama untuk perkapalan sehingga Isnin depan.

"Angin kencang barat daya berkelajuan 40-50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan utara Phuket dan keadaan itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 11:14 AM