PENDUDUK dari dua kampung iaitu Kampung Ulu Bertam dan Kampung Air Limau terpaksa menggunakan 'jalan balak' sejauh sembilan kilometer sejak lebih 10 tahun lalu untuk melakukan urusan harian mereka. FOTO Arkib NSTP
PENDUDUK dari dua kampung iaitu Kampung Ulu Bertam dan Kampung Air Limau terpaksa menggunakan 'jalan balak' sejauh sembilan kilometer sejak lebih 10 tahun lalu untuk melakukan urusan harian mereka. FOTO Arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Masalah penduduk Kampung Air Limau, Tanah Merah yang terpaksa menggunakan 'jalan balak' untuk melakukan urusan harian memerlukan perhatian serius daripada kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Ipoh, Bakri Mustapha berkata, keadaan itu sudah dilalui penduduk sejak lebih 10 tahun lalu dan ia adalah satu daripada laluan bermasalah.

"Laluan itu belum dibaiki disebabkan kekangan kewangan selain wabak Covid-19 yang melanda negara sehingga menyebabkan kerja baik pulih tidak dapat dilaksanakan.

"Sebelum ini, laluan di Kampung Limau sudah dibaiki pada 2018 dengan menurap tar sejauh kira-kira satu kilometer, namun rosak kembali ketika musim tengkujuh.

"Disebabkan kekangan juga, jalan itu hanya diletakkan batu dan simen, namun tidak bertahan lama disebabkan faktor alam semula jadi seperti hujan selain dilalui lori kayu getah menyebabkan ia cepat rosak," katanya.

Menurutnya, terdapat 50 jalan kampung yang rosak dan kelihatan seakan jalan balak perlu dibaiki dalam kawasan Gual Ipoh, Tanah Merah membabitkan kos hampir satu juta ringgit.

"Kesemua 50 laluan berkenaan termasuk infrastruktur lain memerlukan tempoh antara dua hingga tiga tahun untuk dibaiki membabitkan peruntukan kerajaan pusat dan kerjasama dengan kerajaan negeri.

"Di antara jalan kampung berkenaan yang rosak dan membahayakan penduduk membabitkan jarak antara satu hingga lima kilometer. Ia perlu dibaik pulih segera demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk," katanya.

Menurutnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Menteri Besar Kelantan bagi membincangkan peruntukan untuk membaiki jalan, penyaluran air bersih dan kemudahan internet kepada penduduk kawasan itu.

"Bagi mengatasi masalah ini, kita sedang berusaha menyelesaikan dalam tempoh terdekat selain merujuk kepada Lembaga Kemajuan Kelantan (Kesedar) dan ia sedang diambil perhatian," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, kira-kira 600 penduduk di Kampung Ulu Bertam dan Kampung Air Limau berdepan kesulitan apabila terpaksa menggunakan 'jalan balak' sejauh sembilan kilometer untuk melakukan urusan harian mereka.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 4:43 PM