PENDUDUK kampung bekerjasama membina jambatan sendiri. FOTO/ Ihsan Pembaca
PENDUDUK kampung bekerjasama membina jambatan sendiri. FOTO/ Ihsan Pembaca
Olivia Miwil


PENDUDUK termasuk sekumpulan kanak-kanak di Kampung Saliku, Nabawan, mengambil inisiatif membaiki jalan kampung itu supaya boleh dilalui kenderaan.

Ia berikutan keadaan jalan raya di kampung itu yang terletak kira-kira 150 kilometer dari bandar dilihat dalam keadaan teruk terutama selepas hujan lebat.

Baru-baru ini, beberapa gambar dan video tular di aplikasi WhatsApp memaparkan sekumpulan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Saliku dilihat membersihkan lumpur di jalan raya bagi membolehkan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan itu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu, Bapa dan Guru (PIBG) SK Saliku, Ambier Angusah berkata, kejadian itu perkara biasa bagi penduduk di kampung berkenaan.

“Kanak-kanak dan penduduk akan membersihkan lumpur di jalan raya selepas hujan lebat supaya kenderaan boleh melaluinya.

“Membersihkan lumpur menggunakan cangkul adalah rutin harian kami terutama pada hujung minggu termasuk guru yang biasanya pulang ke rumah atau sekolah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, terdapat lima sekolah lain di kawasan berkenaan dan kira-kira 300 penduduk menetap di kampung berkenaan.

Jalan berkenaan adalah jalan perhubungan antara kampung dengan bandar dan ia tidak pernah dibaiki. Ini menyebabkan penduduk kampung terpaksa mencari jalan penyelesaian membaikinya sendiri termasuk membina jambatan menggunakan pokok.

Menurut Ambier, setiap hari, murid sekolah perlu berjalan kaki selama kira-kira satu jam untuk ke sekolah menggunakan laluan sama.

“Disebabkan lumpur di jalan itu, pakaian mereka sering kotor dan disebabkan alasan sama, beberapa murid berhenti ke sekolah (kerana penat berjalan kaki terlalu lama).

“Bukan itu saja, ia sangat menyusahkan apabila berlaku kecemasan dan terdapat banyak kematian akibat serangan jatung, asma dan bersalin kerana penduduk tidak mendapat rawatan perubatan disebabkan jalan yang tidak dapat dilalui,” katanya.

Sehubungan itu, Ambier berharap kerajaan mengambil tindakan berhubung nasib penduduk di kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 5:33 PM