Tertuduh K.Vaitheswaran. FOTO Ramdzan Masiam
Tertuduh K.Vaitheswaran. FOTO Ramdzan Masiam
Siti Azila Alias


MAHKAMAH Majistret Bukit Mertajam, hari ini menetapkan 10, 12 dan 13 Mac depan bagi sambung bicara kes bekas pekerja salon yang dituduh menyebabkan kematian seorang pelajar kolej selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang pada Januari tahun lalu.

Hakim yang bertindak sebagai Majistret, Ahzah Fariz Ahmad Khairuddin memutuskan demikian berikutan peguam S Parameswaran yang sebelum ini mewakili tertuduh, K Vaitheswaran, 22, menarik diri daripada mengendalikan kes terbabit.

Tertuduh yang hadir berbaju kemeja biru muda melantik peguam baru, K Paramanathan.

Kes berkenaan sepatutnya ditetapkan sambung bicara, hari ini, namun Paramanathan memohon kepada mahkamah supaya menetapkan tarikh baru bagi memberikan masa kepadanya untuk meneliti kes terbabit.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazri Abdul Rahim.

Muhammad Nazri memaklumkan, seramai enam atau tujuh saksi lagi akan dipanggil bagi memberi keterangan dalam kes itu.

Terdahulu, Vaitheswaran dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000 dan hilang kelayakan lesen memandu sehingga tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai kira-kira jam 3 pagi pada 20 Januari 2019.

Dalam kejadian itu, Vaitheswaran yang dikatakan memandu Toyota Vios berlanggar dengan kenderaan dipandu Moey Yun Peng, 20, di atas jambatan berkenaan sehingga Mazda CX-5 itu hilang kawalan dan terjunam ke laut.

Tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan pada 11 Februari tahun lalu dan dibenar ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes berkenaan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 4:17 PM