Lelaki warga Myanmar (dua kanan) yang ditahan. NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Lelaki warga Myanmar (dua kanan) yang ditahan. NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Lelaki Myanmar yang ditahan selepas dipercayai merogol kekasihnya yang juga remaja bawah umur, direman lima hari sehingga Ahad.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 30 tahun dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, penahanan suspek bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dijalankan.

Menurutnya, suspek sebelum itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di sini, pada 2.10 petang semalam.

"Penahanannya susulan aduan daripada keluarga mangsa yang diterima, Ahad lalu mengenai kejadian yang berlaku dan dalam soal siasat awal, suspek mengaku melakukan perbuatan itu ke atas mangsa berusia 14 tahun.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan kita turut merampas beberapa barang kes termasuk telefon bimbit yang mengandungi gambar bogel dipercayai mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, suspek yang memakai baju T berwarna putih dan berseluar jeans tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Marang pada 10.10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 3:28 PM