Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Dua lelaki Filipina dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu.

Sulaiman Janalun, 36, dan Mizwan Zakaria, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Mahkamah memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap.

Mengikut pertuduhan, Sulaiman didakwa menggunakan kad pengenalan palsu atas nama Mohamad Ridwan Duraman sebagai pengenalan dirinya, manakala Mizwan menggunakan kad pengenalan palsu atas nama Al Adzmi Seid.

Mereka melakukan perbuatan itu di hadapan klinik Mediclinic Sinaran, Sitiawan pada 12.30 tengah hari, 21 Januari lalu, dengan kesalahan didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum mengikut peraturan sama.

PENGUAT KUASA JPN mengiringi tertuduh yang dihukum penjara kerana menggunakan MyKad palsu. FOTO Sharul Hafiz Zam
PENGUAT KUASA JPN mengiringi tertuduh yang dihukum penjara kerana menggunakan MyKad palsu. FOTO Sharul Hafiz Zam

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Zulkifli Idris, manakala kedua-dua tertuduh yang berasal dari Mindanao, Filipina tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, dua tertuduh itu ditahan dalam Ops Jala Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN di klinik swasta di Sitiawan pada 21 Januari lalu, ketika masing-masing melakukan ujian saringan Covid-19.

Mereka bekerja sebagai jurukimpal yang datang dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru, diuruskan ejen pekerjaan untuk bekerja di kilang di kawasan sekitar ini.

Semakan dibuat mendapati kedua-duanya menggunakan kad pengenalan palsu dan mengaku membelinya di Sabah pada harga RM350 dan RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 11:10 AM