Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis sudah mengenal pasti pemilik akaun yang memuat naik video secara penstriman langsung di Facebook berkenaan perkumpulan ulama serta kemunculan Imam Mahdi di Sabah.

Tanpa mengulas secara terperinci perkembangan siasatan, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan pihaknya masih berjalan biarpun video yang dimuat naik pemilik akaun itu sudah dipadam.

Katanya, video terbabit dirakam oleh suspek ketika mengunjungi sebuah premis menjual senjata tajam di Kuala Kangsar, sekali gus menafikan ia dirakam oleh pemilik premis itu yang terletak di Dataran Lembah, Kuala Kangsar.

"Walaupun video itu sudah dipadam dan tidak lagi boleh diakses namun siasatan sedang dijalankan.

"Pemilik kedai juga tidak tahu mengenai dakwaan suspek kerana ia (dakwaan) dibuat oleh orang lain. Namun, kita sudah kenal pasti suspek yang memuat naik video itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Mior Faridalathrash pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Jumaat lalu, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perak serta Ketua Polis Daerah (KPD) Kuala Kangsar menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Mior Faridalathrash dilaporkan berkata, kesalahan seumpamanya kebiasaannya dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Video berdurasi lapan minit 56 saat yang dimaksudkan memperlihatkan seorang lelaki menunjukkan koleksi pedang dan keris yang dijual di sebuah kedai di Kuala Kangsar, tersebar sejak Khamis lalu.

Menerusi rakaman itu, lelaki itu mendakwa kononnya bakal berlaku perhimpunan ulama dan kemunculan Imam Mahdi yang kononnya berada di Sabah.

Bagaimanapun hasil semakan setakat jam 8 malam Jumaat lalu mendapati video terbabit sudah dipadamkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 5:02 PM