Mohd Solihan Badri.
Mohd Solihan Badri.
BERNAMA

Kulai: Keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dibuat secara unilateral tanpa membabitkan perbincangan antara parti yang membentuk kerajaan negeri sedia ada.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Mohd Solihan Badri berkata, keputusan pembubaran itu hanya membabitkan Umno dan Barisan Nasional (BN), sekali gus mengetepikan Bersatu dan Pas.

"Saya tidak pasti sama ada perlu dapat persetujuan parti (yang membentuk kerajaan sedia ada) atau tidak, tapi (keputusan pembubaran) memang tidak ada minta pandangan kami, sama ada daripada Bersatu atau Pas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Senai di sini, hari ini.

Mengenai PRN Johor, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang itu berkata, Bersatu Johor sedia menyahut cabaran dan yakin mampu menubuhkan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN).

"Jentera Bersatu di 26 bahagian sudah ditubuhkan sejak tahun lalu dan kami sudah lantik jawatankuasa setiap biro, bahagian, parlimen, Dun serta pusat daerah mengundi (PDM), malah perbincangan pembahagian kerusi bersama parti komponen sudah dimulakan tetapi belum dimuktamad," katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi merangkumi Umno (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan Pas (satu) manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu Dap (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 4:57 PM