ANGGOTA Perhilitan menemani penduduk kampung  di ladang bagi mengelak ancaman harimau   di Kampung Tendrik, Pos Bihai, Gua Musang.
ANGGOTA Perhilitan menemani penduduk kampung di ladang bagi mengelak ancaman harimau di Kampung Tendrik, Pos Bihai, Gua Musang.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Seramai 15 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertai operasi khas pihak Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi melindungi keselamatan penduduk di Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan yang diancam kumpulan harimau belang.

Penyertaan anggota PGA terbabit diyakini mampu memperkuatkan usaha anggota Perhilitan dalam menyelesaikan konflik berlarutan sejak 7 Januari lalu.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, hampir 30 anggotanya berkawal dan berusaha menangkap mamalia pemangsa itu susulan kejadian lelaki Orang Asli mati diserang harimau belang di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, usaha diteruskan anggota Perhilitan melalui pemasangan tujuh perangkap diletakkan umpan hidup bagi menarik perhatian harimau belang.

"Perangkap dipasang di Kampung Tendrik, Kampung Pahong, Kampung Bihai Lama, Kampung Peyai, Kampung Balar, Kampung Manjue dan Kampung Pahong.

"Petugas Perhilitan masih meneruskan tugas kawalan keselamatan dan rondaan rapi di kampung itu setiap hari bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan oleh harimau belang," katanya.

Menurutnya, rondaan tidak hanya dilakukan di kawasan kampung berkenaan malah membabitkan kawasan rumah kongsi balak 1 dan 2.

"Penugasan ini dilakukan siang dan malam susulan ada aduan terbaru kehadiran harimau belang di Kampung Payei, di sini.

"Selain khidmat nasihat kepada penduduk, doktor veterinar Perhilitan berusaha mengumpul sampel air liur anjing peliharaan di Kampung Tendrik dan kawasan pembalakan bagi mengesan penularan virus," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tetap bersemangat memberikan khidmat terbaik termasuk memastikan keselamatan penduduk di lokasi itu sepanjang masa.

"Malah, kami turut menawarkan khidmat pengawal peribadi dengan memastikan keselamatan penduduk Kampung Tendrik ketika menuai padi huma di ladang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 7:01 AM