PERANTI pengesanan digital. FOTO arkib NSTP
PERANTI pengesanan digital. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sebanyak 274 kes import positif Covid-19 yang mendapat jangkitan dari luar negara dilaporkan daripada keseluruhan 3,245 kes baharu, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka membabitkan 187 warganegara, manakala 87 lagi bukan warganegara.

Menurutnya, baki 2,971 kes pula adalah penularan tempatan membabitkan 2,882 warganegara dan 89 bukan warganegara.

"Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 98.8 peratus atau 3,206 kes terdiri daripada pesakit kategori satu dan dua manakala selebihnya iaitu 1.2 peratus atau 39 kes kategori tiga hingga lima.

"Pertambahan kes baharu itu juga menjadikan keseluruhan 2,741,355 kes Covid-19 di negara setakat ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah 183 kes membabitkan 128 kes disahkan Covid-19 manakala 55 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Menurutnya, kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 84 kes membabitkan 52 kes disahkan Covid-19 dan 32 kes disyaki, kemungkinan serta dalam siasatan.

"Sebanyak 17 kluster baharu dikesan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan 6,235 kluster dengan 188 kluster masih aktif," katanya.

Menurutnya, nilai kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di seluruh negara berada di bawah paras 0.98 dengan Kuala Lumpur merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.06.

Katanya, ia diikuti Negeri Sembilan (1.05), Sabah (1.04) dan Melaka (1.04), manakala empat negeri lain mencatatkan nilai Rt terendah iaitu 0.00 iaitu Sarawak, Perlis, Putrajaya dan Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 7:17 PM