Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 252 daripada 3,270 kes baharu positif Covid-19 hari ini adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 222 kes itu membabitkan warganegara, manakala 30 lagi bukan warganegara.

Katanya, baki 3,018 kes pula adalah penularan tempatan yang menjangkiti 2,916 warganegara dan 102 bukan warganegara.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, sebanyak 97.9 peratus atau 3,201 kes terdiri daripada pesakit kategori satu dan dua, manakala selebihnya iaitu 2.1 peratus atau 69 kes kategori tiga hingga lima.

"Pertambahan kes baharu itu juga menjadikan keseluruhan 2,773,156 kes Covid-19 di negara setakat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah sebanyak 257 kes membabitkan 197 kes disahkan Covid-19, manakala 60 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Katanya, kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 137 kes membabitkan 89 kes disahkan Covid-19 dan 48 kes disyaki, kemungkinan serta dalam siasatan.

Noor Hisham Abdullah
Noor Hisham Abdullah

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut merekodkan 3,195 kes pulih daripada jangkitan itu hari ini, menjadikan kumulatif sebanyak 2,701,808 kes pulih iaitu 97.4 peratus daripada keseluruhan kes.

Tambah Noor Hisham, sebanyak empat kluster baharu dikesan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 5,948 kluster dengan 195 kluster masih aktif.

"Nilai kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di seluruh negara masih berada di bawah paras 1.0 iaitu 0.99.

Menurutnya, Sabah merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.01 diikuti Kelantan (1.00), Kedah (0.99) dan Johor (0.98).

Katanya, Sarawak pula mencatatkan nilai Rt terendah iaitu 0.78.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 7:25 PM