PENDUDUK menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak akibat angin lintang di Fasa 3A Seri Manjung, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
PENDUDUK menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak akibat angin lintang di Fasa 3A Seri Manjung, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Bumbung kira-kira 20 rumah penduduk Fasa 3A Seri Manjung, di sini, terjejas dalam kejadian angin lintang, tengah hari ini.

Penduduk, Ismail Hassan, 61, berkata, kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah hari ketika dia sedang bersiap-siap mahu pergi solat Jumaat.

Menurutnya, dia melihat pusaran angin di depan rumahnya sebelum angin bergerak ke bahagian bumbung rumah.

"Ketika sedang bersiap-siap, terdengar bunyi angin kuat seperti bersiul dan dalam sekelip mata, beberapa bumbung rumah diterbangkang.

"Jawatankuasa penduduk membuka kaunter untuk penduduk membuat aduan kerosakan dan kira-kira 20 penduduk membuat laporan dengan lima hingga enam rumah agak teruk termasuk rumah saya," katanya di sini, hari ini.

Pesara itu berkata, dia bersyukur kejadian tidak membabitkan kecederaan kepada sesiapa atau kerosakan harta benda lain.

Penjawat awam, Nah Iqbal Ahmad Nah Rodzi, 29, berkata, ibu mentua dan isteri berada di rumah ketika kejadian sebelum melihat angin berpusar seperti puting beliung di bumbung rumahnya dan rumah jiran hadapan.

"Kejadian seperti itu sudah berlaku beberapa kali di taman perumahan mereka sejak 10 tahun lalu.

"Tiada hujan, tiada ribut, cuaca pun cerah tiba-tiba angin datang dan boleh nampak atap terbang dalam keadaan berpusing di udara," katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut hadir melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa terjejas dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 8:20 PM