BERNAMA

Lenggong: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menggalakkan usahawan dan koperasi di negara ini menceburi bidang ternakan rusa yang berpotensi menjana pulangan lumayan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kerajaan berhasrat memperluaskan ternakan rusa di negara ini memandangkan bekalan daging haiwan itu tidak mencukupi walaupun mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

"Harga daging rusa dijual RM60 bagi sekilogram di pasaran namun bekalan tidak mencukupi. Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) boleh memberikan bantuan dan khidmat nasihat kepada mereka yang berminat untuk memperluaskan ternakan haiwan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Projek Ternakan Rusa Negeri Perak di padang ragut Kampung Luat di sini, hari ini.

Ahmad berkata, projek ternakan rusa secara berkelompok di padang ragut Kampung Luat membabitkan kawasan seluas 71.6 hektar dengan 11 orang peserta telah mula dilaksanakan pada 1997 secara berkelompok dengan spesies rusa Cervus Timorensis.

Katanya, benih rusa pada mulanya diperoleh dari negara luar dan kini lebih 15,000 ekor haiwan eksotik itu berjaya diternak di negara ini dan kira-kira 5,000 ekor diternak di Perak, yang merupakan negeri pengeluar daging rusa tertinggi.

FOTO hiasan
FOTO hiasan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak Dr Ahmad Shafri Hassan berkata, seramai 11 penternak rusa di Kampung Luat memperoleh pendapatan RM600 sebulan dengan menjalankan aktiviti penternakan hanya dua hari seminggu.

Beliau berkata Daerah Hulu Perak mempunyai 10 padang ragut dengan kapasiti 2,360 ekor rusa, manakala JPV mempunyai dua padang ragut di Sumpitan dan Sungai Siput.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 4:52 PM