FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggantung tugas kakitangannya susulan kejadian kereta api tidak berhenti di Hentian Kuala Gris yang menyebabkan 100 pelajar tidak dapat ke sekolah pagi ini.

KTMB menerusi kenyataan media berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan disiplin akan diambil sekiranya berlaku kecuaian.

"Siasatan sudah dijalankan, KTMB mengesahkan kereta api Shuttle Timuran nombor 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat jam 4.05 pagi tidak berhenti di Hentian Kuala Gris pada jam 7.08 pagi.

"KTMB memandang serius dan berasa kesal dengan kejadian itu. Lebih kesal ia membabitkan 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang baru memulakan sesi persekolahan hari ini.

"KTMB memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah yang terbabit dan kesal atas kejadian yang berlaku," katanya.

Terdahulu, keterujaan 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong untuk ke sekolah pada hari pertama penggal ketiga 2021/2022 bertukar sebaliknya, apabila kereta api yang sepatutnya mereka naiki tidak berhenti di Hentian Kuala Gris.

Situasi itu menyebabkan kesemua pelajar terbabit tidak dapat ke sekolah yang akhirnya pelajar itu kembali semula ke rumah masing-masing.

Berita berkaitan:

  • Teruja ke sekolah, kereta api pula tak berhenti
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 2:01 PM