Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: "Saya buat (tolak banjir) disebabkan saya sayang rakyat Malaysia, jangan salah tafsir kerana tiada syirik atau khurafat," dakwa lelaki yang mengaku sebagai Raja Bomoh atau nama sebenar Ibrahim Mat Zin.

Ibrahim berkata, dia baru mengetahui bahawa adanya fatwa dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengenai amalan bomoh yang dilakukannya.

Dia mendakwa perkara yang dilakukan itu tidak bertentangan dengan fatwa dikeluarkan JAIPk.

"Selama ini saya tidak tahu ada fatwa ini, apabila saya dapat tahu undang-undang ini saya mematuhi fatwa yang ditetapkan.

"Saya mematuhi fatwa dan pada masa akan datang saya tidak akan membuat perkara yang tidak baik," katanya ketika ditemui selepas hadir prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh di sini hari ini.

Menurutnya, perbuatan tolak banjir yang dilakukan dia bersama sepupunya yang digelar 'Puteri Zaleha' itu bertujuan menyelamatkan rakyat.

"Saya sebenarnya sudah berjanji dengan Mufti Selangor tidak buat 'show', tetapi kerana banjir berlaku di banyak negeri dan saya tahu perubatan tradisional serba sedikit jadi saya buatlah untuk membantu rakyat.

"Saya selalu memberi sokongan kepada kerajaan, saya buat kerana Allah dan tiada prinsip yang tidak sihat serta tujuan saya menyelamatkan rakyat daripada masalah banjir," katanya.

IBRAHIM ketika ditemui selepas hadir prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari
IBRAHIM ketika ditemui selepas hadir prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Katanya, dia ditahan di kediaman di Ipoh dan dibawa ke Pejabat JAIPk pada jam 3.45 petang semalam.

Menurutnya, dia dan Puteri Zaleha memberi keterangan bermula jam 9 malam sehingga 3 pagi.

Sebelum ini media melaporkan, Ibrahim yang disiasat atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Rendah Syariah Ipoh di sini, hari ini.

Ibrahim bersama seorang wanita, Suliaha Abdul Hamid, 62, yang dikenali sebagai Puteri Zaleha masing-masing diperintahkan membayar wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin daripada kalangan ahli keluarga.

Terdahulu, video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook memperlihatkan dia bersama Puteri Zaleha membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 6:48 PM