Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang pengamal perubatan tradisional bersama seorang wanita melakukan ritual bagi menolak banjir. FOTO TULAR.
Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang pengamal perubatan tradisional bersama seorang wanita melakukan ritual bagi menolak banjir. FOTO TULAR.
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Orang ramai perlu membuat laporan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) jika terdapat perbuatan khurafat dan berunsur sesat yang boleh menjejaskan kepercayaan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, biarpun bidang kuasa terletak di bawah jabatan agama Islam negeri, namun Jakim boleh mengeluarkan arahan untuk siasatan.

"Jakim tidak ada kuasa untuk mendakwa (perbuatan khurafat)... itu kuasa negeri, tetapi kita boleh maklum pada jabatan agama Islam negeri untuk mereka ambil tindakan, siasat dan dakwa.

"Ikut pengalaman saya, semua pihak berkuasa agama negeri memang akan bertindak segera jika ada kes-kes yang bercanggah dengan ajaran Islam," katanya.

Idris berkata demikian bagi mengulas kemunculan individu dikenali sebagai Raja Bomoh dan Puteri Zaleha mengadakan ritual menolak banjir di Teluk Intan, Perak yang tular di laman sosial, semalam.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan membuka kertas siasatan berhubung video ritual menolak musibah banjir berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin dipetik berkata, kertas siasatan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana mencela dan menghina agama Islam.

Video tular berdurasi 25.09 minit itu memaparkan individu terbabit melakukan ritual bagi menolak berlaku banjir dengan menggunakan bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun.

Turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan al-Quran.

Dalam rakaman itu, lelaki itu mendakwa upacara berkenaan adalah petua zaman dahulu dan meminta semua tempat surut air (tidak banjir) bukan saja di Teluk Intan, tetapi seluruh Malaysia, seluruh kepulauan Melayu dan seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 3:10 PM