FAIL HM Digital
FAIL HM Digital
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Ibrahim Mat Zin atau lebih dikenali sebagai Raja Bomoh dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini, selepas ditahan Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata Ibrahim dibebaskan selepas polis mengambil keterangan daripadanya.

Katanya, Ibrahim ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan melukakan perasaan umat Islam.

Jika didapati bersalah boleh membawa dihukum penjara setahun atau denda atau kedua-dua sekali.

“Kami mengambil keterangan daripada suspek dan dia turut memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

“Oleh itu, dia sudah dilepaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ibrahim ditahan oleh sepasukan polis di sebuah hotel di Segamat, Johor dan di bawa ke Bukit Aman untuk disoal siasat, pada 2.30 pagi, Jumaat lalu.

Ibrahim ditahan berikutan tindakannya sering melakukan upacara pelik termasuk melakukan ritual di hadapan Institut Perubatan Forensik Nasional, Hospital Kuala Lumpur, 13 Mac lalu.

Ritual itu kononnya hendak ‘memagar’ Malaysia daripada diserang negara asing khususnya Korea Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 7:42 PM