OPERASI Carilamat masih giat dijalankan di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang. FOTO ihsan APMM
OPERASI Carilamat masih giat dijalankan di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang. FOTO ihsan APMM
Juwan Riduan


Kudat: Mayat pemancing ditemukan manakala rakannya masih hilang selepas kedua-dua lelaki terbabit keluar memancing pada 1 Januari lalu.

Mayat Laurun Maujun, 53, ditemukan penduduk kampung di kawasan perairan Kampung Selamat, Pulau Balambangan, di sini, kira-kira 3 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, mayat dibawa ke Klinik Kesihatan Kerakit, Pulau Banggi sebelum diserahkan kepada polis.

Katanya, seorang lagi mangsa, Kamri Kail, 51, masih hilang dan usaha pencarian masih diteruskan dengan dikoordinasikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Operasi carilamat dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"APMM dan Pasukan Polis Marin masing-masing mengatur gerak dua aset dalam melaksanakan Op Carilamat ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi carilamat diaktifkan selepas dua pemancing terbabit dilaporkan hilang pada 11.30 pagi semalam.

Chin Chau berkata, mengikut maklumat diterima, kedua-dua mangsa dilaporkan keluar ke laut menaiki sebuah bot kayu, kira-kira 8 pagi, Sabtu lalu.

Katanya, kedua-dua mangsa dilaporkan memancing di sekitar kawasan perairan antara Kampung Limbuak Laut dan Pulau Balambangan.

Sehubungan itu, Chin Chau menasihatkan komuniti maritim supaya berwaspada dan menangguhkan aktiviti laut susulan keadaan cuaca buruk serta angin kencang yang melanda perairan Kudat ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 11:49 AM