Siti Rohana Idris


Tumpat: Tiga unit dron digunakan untuk memantau situasi banjir membabitkan daerah Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah.

Penyelaras Unit Dron Negeri Kelantan, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisansahseni Rasa Semail berkata, dron yang boleh diterbangkan mencecah 122 meter tinggi mengikut undang-undang penerbangan itu berupaya mengesan pergerakan aliran air bagi membuat jangkaan serta menilai tahap risiko di kawasan terjejas banjir.

Beliau berkata, teknologi yang dilengkapi kamera berdefinisi tinggi itu juga mampu terbang sejauh tujuh kilometer (km) untuk merakam setiap pergerakan aliran air dan mengesan sebarang halangan yang dibawa aliran sungai untuk langkah siapsiaga.

"Setakat tiga hari penggunaan teknologi itu yang bermula pada Jumaat lalu, kita sudah memantau tiga daerah yang dilanda banjir iaitu Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah.

"Selain memantau pergerakan aliran air, kaedah ini juga digunakan untuk pemetaan jika diperlukan pihak berkaitan.

ANGGOTA Unit Dron Bahagian Udara Ibu Pejabat JBPM menggunakan dron untuk memantau situasi banjir di Sungai Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA Unit Dron Bahagian Udara Ibu Pejabat JBPM menggunakan dron untuk memantau situasi banjir di Sungai Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Data yang berjaya dikumpul itu nanti akan dibuat analisa untuk jangka masa panjang sebagai persediaan banjir akan datang," katanya kepada pemberita di jeti Kok Majid di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama tiga pegawai daripada Unit Dron Bahagian Udara Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerbangkan dron jenis DJI Matrice 210 RTK dilengkapi kamera DJI Zenmuse Z30.

Beliau yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor berkata, sehingga gelombang kedua ini, situasi di daerah Tumpat masih terkawal dan tiada limpahan air berlaku.

"Di Pengkalan Kubor yang membabitkan Sungai Golok, hanya berlaku limpahan akibat fenomena air pasang sahaja yang terjadi beberapa kali.

"Sementara di Sungai Kelantan yang membabitkan beberapa kampung sekitar Pasir Pekan dan gugusan pulau pula mengalami trend air menurun namun masih dalam paras waspada.

"Kami menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan peka dengan situasi paras air serta sentiasa merujuk kepada maklumat sahih sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 3:53 PM