R Vidyananthan
R Vidyananthan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Peningkatan paras air tujuh sungai di Johor petang ini dikhuatiri mampu memburukkan keadaan banjir yang setakat ini menjejaskan lapan daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, empat sungai di Segamat dan masing-masing satu di Muar, Tangkak dan Johor Bahru meningkat melebihi paras bahaya.

Katanya, Sungai Muar di Kampung Awat Segamat melepasi paras bahaya apabila merekodkan bacaan 21.96 meter petang ini.

"Tiga lagi sungai di Segamat yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Muar di Buloh Kasap (10.52 meter), Sungai Segamat di Bandar Segamat (10.36 meter) dan Sungai Lenik di Ladang Chaah (6.88 meter).

"Manakala Sungai Muar di Kampung Olak Sepam, Muar mencatatkan 2.51 meter, Sungai Kesang di Kampung Seri Makmur, Tangkak (4.44 meter) dan Sungai Skudai di Kampung Muafakat, Johor Bahru (3.29 meter)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, sebanyak tujuh laluan turut ditutup kepada semua jenis kenderaan di Segamat.

Katanya, ia membabitkan Jalan Kuala Paya Balai Badang yang dinaiki air setinggi dua meter, Jalan Putting (satu meter), Jalan Jabi Kampung Bukit Tempurong (0.6 meter) dan Jalan Tumang (0.6 meter).

"Tiga lagi laluan yang ditutup sepenuhnya berikutan dinaiki air bah adalah Jalan FELDA Medoi (0.3 meter), Jalan Senai-Gemas (0.45 meter) dan Jalan Senai-Gemas (sektor 2) (0.4 meter).

"Empat laluan lagi hanya dibuka untuk laluan kenderaan berat berikutan dinaiki air banjir adalah Jalan Sarakek (0.2 meter), Jalan Tungku Tiga (0.4 meter), Jalan Pogoh-Kampung Limau Nipis (0.4 meter) manakala Jalan Mawai Lama (Sarang Burung) di Kota Tinggi (0.37 meter).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 5:33 PM