Cuaca mula mendung di Sungai Kota Tinggi di kawasan Kampung Tembioh. FOTO FARID NOH
Cuaca mula mendung di Sungai Kota Tinggi di kawasan Kampung Tembioh. FOTO FARID NOH
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Penduduk kawasan rendah dan berhampiran sungai di Mersing, Kluang, Kota Tinggi dan di sini, diarahkan bersiap sedia dengan kemungkinan banjir.

Ia berikutan amaran hujan peringkat waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor dalam kenyataan medianya hari ini, memaklumkan amaran hujan berterusan di beberapa daerah di negeri ini yang dikeluarkan MetMalaysia sejak semalam itu, dijangkakan menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

"Empat lembangan sungai di negeri ini membabitkan Sungai Mersing (Mersing), Sungai Endau (Kluang dan Mersing), Sungai Johor (Kota Tinggi) dan Sungai Johor, Sungai Skudai dan Sungai Tebrau (Johor Bahru), berisiko melimpah dan berlakunya banjir, jika hujan lebat berterusan.

"Semua penduduk terutamanya di kawasan rendah yang dijangka banjir, diminta sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa," kata kenyataan berkenaan.

Sementara itu, Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak melepasi paras bahaya apabila mencecah bacaan 2.61 meter berbanding paras bahaya iaitu 2.50 meter pada tengah hari tadi.

Cuaca hujan dan mendung melanda hampir semua daerah di negeri ini sejak 1 tengah hari ini, sekali gus meningkatkan kebimbangan berlaku banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

Untuk rekod, kali terakhir banjir besar melanda negeri itu adalah awal Januari lalu yang menyebabkan beberapa daerah terutama pusat bandar Kota Tinggi yang terletak bersebelahan Sungai Johor ditenggelami air banjir hingga lebih 2.5 meter.

Beberapa kawasan di Johor Bahru, Batu Pahat, Muar, Mersing dan Pontian turut dinaiki air dalam banjir awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 5:35 PM