Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seramai 1,591 penduduk daripada 560 keluarga dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di empat daerah terjejas banjir, setakat 8 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, ia susulan hujan lebat berterusan sejak 24 jam lalu yang menyebabkan kebanyakan penempatan di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinaiki air banjir sekali gua menyebabkan 21 PPS dibuka sejak 1 pagi tadi.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Segamat menjadi daerah paling terjejas dengan seramai 746 mangsa daripada 209 keluarga ditempatkan di enam PPS yang dibuka.

"Johor Bahru pula adalah daerah kedua paling terjejas dengan 560 mangsa yang dipindahkan di enam PPS, diikuti Kluang yang mempunyai 188 mangsa daripada 162 keluarga di enam PPS.

"Seramai 123 mangsa daripada 32 keluarga pula ditempatkan di tiga PPS di Kota Tinggi.

"Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya atau merah ke atas semua 10 daerah negeri ini sehingga esok, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, 10 sungai utama masing-masing tiga di Segamat dan Kulai, Johor Bahru (dua) dan masing-masing satu di Kluang dan Pontian, berada pada paras bahaya pagi ini.

Sementara itu, Azmi berkata, dua jalan utama masing-masing di Kluang dan Segamat, turut ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air banjir.

"Ia membabitkan Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway FT050) di Kluang dan Jalan Bekok (J150) yang dinaiki air bah hampir satu meter," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 8:53 AM
Mangsa banjir di Kampung Melayu dan Kampung Paya, Kluang dipindahkan berikutan hujan lebat yang menyebabkan banjir menjejaskan empat daerah. FOTO IHSAN APM
Mangsa banjir di Kampung Melayu dan Kampung Paya, Kluang dipindahkan berikutan hujan lebat yang menyebabkan banjir menjejaskan empat daerah. FOTO IHSAN APM