PEMANDANGAN dari udara kawasan parkir sebuah pangsapuri di Taman Sri Muda. FOTO Bernama
PEMANDANGAN dari udara kawasan parkir sebuah pangsapuri di Taman Sri Muda. FOTO Bernama
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Orang ramai terutama mangsa banjir tidak disarankan membuat pembaikan sendiri kepada sistem enjin dan elektronik mereka yang terjejas akibat bencana itu.

Penganalisis automotif Hezeri Samsuri berkata, sebaliknya terdapat pelbagai cara untuk membuka komponen berkenaan dan kaedahnya juga berbeza bagi setiap jenama kenderaan.

"Kenderaan yang tenggelam itu lebih baik dihantar terus ke pusat servis dan bengkel serta dapatkan anggaran kos sebelum kerja pembaikan dilakukan.

"Lebih penting lagi, jangan cuba hidupkan kenderaan selepas banjir. Ini benda penting, melainkan kita tahu apa yang perlu dilakukan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, antara langkah yang boleh diambil mangsa banjir terhadap kenderaan mereka yang ditenggelami air adalah dengan mencabut terminal bateri untuk memastikan tiada langsung arus elektrik dalam sistem kenderaan.

Beliau berkata, periksa dengan pihak insurans adakah kenderaan berkenaan mempunyai perlindungan tambahan.

"Jika ada perlindungan insurans, ambil semua gambar kerosakan kenderaan terbabit dan hantar untuk tujuan tuntutan.

"Jika kerosakan besar, syarikat insurans akan menghantar 'adjuster' (wakil pelaras) untuk membantu tuntutan terbabit.

"Namun, jika kereta berkenaan tiada perlindungan insurans, pengguna harus membuka dan mengeluarkan karpet serta tempat duduk kenderaan untuk dibersihkan dan dikeringkan.

"Ini dapat membantu mengurangkan kos pembersihan dan saya juga tidak sarankan untuk pemilik kenderaan membuat pembaikan sendiri kepada sistem enjin dan elektronik kerana ada pelbagai cara untuk membuka komponen itu dan ia tidak sama antara jenama kenderaan," katanya.

Hezeri berkata, seperti barangan elektronik dan mekanikal yang lain, air dan lumpur adalah antara musuh utama dan ia memerlukan kepakaran untuk memastikan kerosakan boleh dibaiki pada kos terbaik.

"Selain itu, sekiranya pemilik seorang yang suka 'diy' (melakukan sendiri) dan mempunyai masa, cari rakan atau sumber maklumat yang sahih untuk membantu usaha terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 10:36 PM