Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Detik mencemaskan terkandas selama lapan jam di dalam rumah dan dua jam berada di atas bumbung kereta bersama tiga anak selepas kawasan rumahnya di Taman Seri Inderapura, di sini dinaiki air, hampir dua meter (m), pada Ahad lalu, pasti tidak akan dilupakan oleh Rabiatul Adawiyyah Kamarudzaman, 41.

Lebih mendebarkan lagi apabila tiga anaknya berumur tiga hingga sembilan tahun turut bersama dalam suasana gelap selepas bekalan elektrik terputus.

Berkongsi detik cemas itu, Rabiatul Adawiyyah berkata, ketika air mula memasuki rumah, mereka empat beranak memutuskan untuk hanya berlindung dalam rumah kerana pada awalnya beranggapan, banjir tidak serius dan akan segera surut.

Bagaimanapun katanya, jangkaannya meleset sama sekali apabila paras air dalam rumah mencecah satu m, keadaan air juga laju menyebabkan banyak barangan perabot bergerak dan terbalik.

"Untuk menyelamatkan dia, saya dan tiga anak terpaksa duduk di atas meja makan, selama kira-kira lapan jam selepas keseluruhan dalam rumah dipenuhi air lebih satu m.

"Saya hanya mampu berdoa setiap detik, itu sahaja yang termampu dilakukan dalam kegelapan malam. Untuk meminta bantuan jiran, semua mereka sudah meninggalkan rumah untuk menyelamatkan diri.

"Selepas menunaikan solat Subuh dan Dhuha kira-kira 8 pagi, saya bertindak keluar rumah dengan duduk diatas bumbung kereta bagi mendapatkan bantuan," katanya, di sini, hari ini.

RABIATUL Adawiyyah bersama tiga anaknya duduk di atas kereta. FOTO Mohd Rafi Mamat
RABIATUL Adawiyyah bersama tiga anaknya duduk di atas kereta. FOTO Mohd Rafi Mamat

Beliau yang juga seorang guru, di sini berkata, dia dan tiga anaknya berada diatas bumbung kereta miliknya selama kira-kira dua jam sebelum jiran datang membantu menyelamat mereka menggunakan kayak.

Rabiatul Adawiyyah berkata, dia hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada pasangan, Amir Saidon Md Yunus, 58 dan Zainuriah Samah, 56 yang datang membantu membawa keluar ke tempat selamat.

"Saya bersyukur masih selamat dalam kejadian banjir kali kedua berlaku di Taman Seri Inderapura, kejadian Ahad lalu pastinya menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila.

"Saya ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Rendang, di sini sebelum menumpang di rumah bapa saudara di Kubang Buaya, di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 8:17 AM